1,036 lesen sampan khas nelayan Terengganu lulus, isu selesai

1,036 lesen sampan khas nelayan Terengganu lulus, isu selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Isu nelayan sampan beroperasi tanpa lesen di Terengganu dianggap selesai selepas sebanyak 1,036 Lesen Sampan Khas Nelayan dilulus dan diagihkan sejak 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kelulusan itu diperoleh hasil gerak kerja bersepadu Jawatankuasa Task Force Isu Lesen Sampan Khas Nelayan yang dilaksanakan pada 2019 dan 2025 dengan kerjasama Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 498 lesen diagihkan pada 2021, diikuti 102 lesen pada 2022 dan 436 lesen lagi pada tahun ini. Dengan selesainya agihan terakhir pada Ramadan 1447H, berdasarkan data terkini daripada PNK, LKIM dan DOF, sepatutnya tiada lagi nelayan sampan di Terengganu yang turun ke laut tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (Pas-Pengkalan Berangan) mengenai jumlah lesen sampan khas nelayan yang diluluskan dalam tempoh lima tahun dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di sini hari ini.

Azman berkata, status sebagai nelayan berlesen membolehkan golongan itu menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, bekalan minyak bersubsidi serta bantuan lain seperti perumahan dan bantuan bencana.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan permohonan lesen ditolak antaranya pemohon bukan nelayan tulen kerana mempunyai pekerjaan tetap lain, pesara kerajaan yang menerima pencen, pernah memiliki lesen tetapi dibatalkan serta nelayan sambilan yang tidak memiliki vesel dan enjin sendiri.

“Selepas memperoleh lesen, nelayan perlu turun ke laut dan melaporkan hasil tangkapan dalam tempoh 120 hari sebelum layak memohon minyak bersubsidi dan Elaun Sara Hidup Nelayan. Ia bukan diperoleh secara automatik sebaik sahaja lesen diluluskan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×