DUN Selangor: Dewan kecoh status ketua pembangkang dipertikai

DUN Selangor: Dewan kecoh status ketua pembangkang dipertikai

Ketua pembangkang Selangor
AFIF Bahardin (kiri) dan Abbas Salimmi Che Adzmi@azmi saling membalas berhubung pertikaian terhadap status jawatan ketua pembangkang pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 2026 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - Gambar Media Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembukaan hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dihangatkan dengan pertikaian terhadap status jawatan ketua pembangkang yang dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang (PN-Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pertikaian tersebut dicetuskan oleh ADUN Sri Serdang (PH-Amanah), Abbas Salimmi Che Adzmi@azmi yang memohon pengesahan daripada Speaker, Lau Weng San selepas mendakwa wujud pelbagai andaian atau makluman.

Belia berkata, keadaan itu dikuatkan lagi apabila Mohamed Azmin tidak kelihatan pada hari pertama DUN bersidang berbanding kebiasaan pada persidangan-persidangan sebelum ini.

“Berkenaan dengan status ketua pembangkang, kita, Speaker. Ada apa-apa update ke sebab sebulan dua lepas di luar sana kita dengar macam-macam Whatsapp group lah, apalah, semua ini.

“Jadi, saya hendak tahu juga macam mana berkenaan status ketua pembangkang kita masih lagi ketua pembangkang ke? Biasanya ketua pembangkang datang awal. Tetapi, hari ini hari pertama bersidang, tak sampai-sampai lagi, kita pun risau juga dengan Hulu Klang,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Susulan itu, ADUN Taman Medan (PN-Bersatu), Dr. Afif Bahardin kemudian mencelah dan mempertikai tindakan Abbas Salimmi dengan mendakwa beliau tidak faham tentang Peraturan Dewan Negeri Selangor berhubung kedudukan ketua pembangkang.

“Tahu peraturan dewan ke tak tahu? Ketua pembangkang masih ketua pembangkanglah, sibuk hal orang, pasal apa?” selarnya.

Abbas Salimmi kemudian membalas dalam celahannya dengan mempersoalkan jika Pas masih menyokong Hulu Klang sebagai ketua Pembangkang.

“Soalan itu kepada Speaker, sabarlah, biar Speaker buat petua. Pas sokong ke, Pas sokong yang berhormat Hulu Klang ke?” soalnya.

Bagaimanapun, Weng San kemudian meminta ADUN-ADUN untuk duduk dan menjelaskan kedudukan ketua pembangkang masih dipegang oleh Mohamed Azmin berdasarkan Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

“Penentuan jawatan ketua pembangkang itu akan ditentukan sepenuhnya mengikut Peraturan Tetap sedia ada, iaitu akan dipilih dalam kalangan ahli-ahli dewan pembangkang.

“Jadi, sehingga sekarang Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri masih belum menerima apa-apa makluman rasmi berkenaan perkara ini dan jawatan ketua pembangkang sehingga hari ini masih dipegang oleh ahli yang berhormat Hulu Kelang. Itu sahaja,” ujarnya.

Sidang DUN yang bermula pada pukul 10 pagi tadi turut dihadiri oleh pelawat seramai 20 orang dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan 21 Penyelia Pusat Wanita Berdaya Bandar Utama serta 33 pelajar dan guru pengiring dari Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Darul Ehsan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×