SEREMBAN: Undang Yang Empat menyangkal kenyataan media Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkaitan nasihat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan berkenaan pemecatan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak.
Mereka berkata, ahli-ahli yang hadir dalam sidang khas dewan tersebut pada Jumaat lalu tidak pernah mencapai sebarang keputusan secara kolektif dan kebulatan (sebulat suara) dalam isu kedudukan Mubarak.
Mereka yakin dan percaya bahawa pernyataan Aminuddin dalam kenyataan media tersebut adalah tidak relevan dan tidak benar.
“Kami juga menegaskan bahawa menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang tiada kuasa secara bersendiri (unilateral) untuk membuat sebarang keputusan bagi mengeluarkan sebarang nasihat bagi pihak dewan.
“Maka kenyataan media Menteri Besar tersebut adalah tidak benar dan sebarang nasihat sebagaimana yang dinyatakan adalah tidak teratur, bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak sah,” kata mereka dalam kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Keempat-empat mereka menegaskan tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra yang kononnya dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras Fasal 14(3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Kami ingin menekankan bahawa ibu soko Klana Hulu dan waris Klana Hulu yang hadir pada mesyuarat khas dewan itu adalah penyandang pesaka yang telah dihukum dan waris yang terhukum seperti yang kami fahami.
“Sekiranya ia benar sekalipun, maka pendengaran oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada hari tersebut adalah cacat dan salah dan telah dengan sendirinya melanggar Perjanjian Di Antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat seperti termaktub pada 16 Mei 1934 yang masih berkuatkuasa hingga hari ini,” ujar mereka.-UTUSAN.










