PUTRAJAYA: Tujuh banduan kanak-kanak gagal dalam permohonan mereka untuk menyemak semula keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka ditahan di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut tidak memenuhi keperluan Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan tidak dipenuhi.
Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, Datuk Rodzariah Bujang, dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Sekitar Mac lalu, tujuh banduan kanak-kanak itu memfailkan permohonan semakan atas alasan hukuman yang telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan yang memerintahkan mereka ditahan untuk tempoh tidak tertentu di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kesemua banduan kanak-kanak itu yang dikategorikan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) dan kini berusia antara 26 hingga 35 tahun disabitkan dengan kesalahan membunuh, menculik dan mengedar dadah dikenakan hukuman penjara selama yang diperkenankan oleh YDPA.
Disebabkan masih di bawah umur ketika kesalahan berlaku, mereka dijatuhi hukuman ditahan di penjara ‘selama diperkenankan YDPA’, sebagai ganti hukuman mati mandatori kerana peruntukkan Akta Kanak-Kanak menghalang individu bawah umur dikenakan hukuman mati.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan selaku responden diwakili Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Noor Farhana Adham dan Arif Aizuddin Masron.
Kesemua banduan kanak-kanak selaku pemohon itu diwakili peguam-peguam Abdul Rashid Ismail, Khaizan Sharizad Ab Razak dan Jacqueline Albert.
Menurut penghakiman ringkas yang dibacakan oleh Hakim Sequerah, hak asasi kesemua banduan itu di bawah Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) tidak dilanggar memandangkan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak telah dimansuhkan atau dibatalkan.
“Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas menetapkan di mana dan bagaimana pesalah kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan bunuh atau pengedaran dadah dan kes penculikan akan ditempatkan, iaitu di bawah arahan YDPA atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri. Penahanan pesalah kanak-kanak di bawah seksyen ini hendaklah dianggap sebagai tahanan yang sah di sisi undang-undang.
“Seperti yang dapat difahami, objektif utama adalah untuk meletakkan pesalah kanak-kanak dalam kategori tersendiri supaya mereka tidak mengalami nasib yang berat seperti pesalah dewasa, dengan tujuan memberi peluang untuk pemulihan dan akhirnya kembali semula ke dalam masyarakat.
“Apa jua bantahan atau rasa tidak puas hati yang dimiliki oleh pemohon, termasuk sama ada Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 itu ‘keras dan tidak adil’, kekal sebagai satu pertimbangan dasar yang terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Parlimen, dan sebarang remedi yang ingin diberikan mesti melibatkan campur tangan legislatif,”kata hakim itu.
Selain itu, panel terbabit menyatakan, hujah bahawa tiada remedi alternatif yang membolehkan kesemua banduan kanak-kanak itu dibebaskan awal juga tidak berasas.
“Dakwaan bahawa para pemohon akan terpaksa menjalani penahanan tanpa tempoh adalah tidak tepat.
“Terdapat remedi alternatif yang diperuntukkan di bawah undang-undang iaitu Seksyen 97(4) Akta Kanak-Kanak 2001, Peraturan 54 dan 113 Peraturan Penjara 2000, serta kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang kesemuanya masih belum digunakan sepenuhnya oleh para Pemohon masing-masing.
“Remedi khusus (turut diberikan) kepada para pemohon melalui Seksyen 97(5) Akta Kanak-Kanak 2001 memberi peluang untuk mereka dibebaskan lebih awal daripada tahanan, berdasarkan cadangan tahunan oleh Lembaga Hakim Pelawat (Board of Visiting Justices) yang tidak diberikan kepada pesalah dewasa.
“Oleh itu, tidak timbul merit kepada hujahan peguam para Pemohon bahawa tiada semakan yang tersedia terhadap tempoh hukuman mereka,”kata hakim itu. – UTUSAN










