PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan guru tadika, M. Indira Gandhi untuk mengemukakan bukti baharu berkait dengan lokasi bekas suaminya, K. Pathmanathan yang telah melarikan anak perempuan mereka.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut tidak menunjukkan sebarang keadaan yang membolehkan panel terbabit menggunakan budi bicara untuk menerima keterangan baharu tersebut.
Hakim Mohamed Zaini bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid.
Bukti baharu yang ingin dikemukakan ialah rekod penggunaan bantuan BUDI95 dan bantuan SARA 100 oleh Pathmanathan atau nama Islamnya, Muhammad Riduan Abdullah.
Permohonan untuk memasukkan bukti baharu itu berkait dengan saman wanita terbabit terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi yang didakwa gagal menjejak bekas suaminya dan memulangkan anak perempuannya, P. Prasana Diksa.
Muhammad Riduan melarikan diri bersama Prasana pada 2009 ketika anak itu berusia 11 bulan, selepas memeluk agama Islam. Dua lagi anak Indira telah dipulangkan kepadanya pada 2010.
“Keterangan yang ingin dikemukakan oleh perayu dalam rayuan ini, sama ada dianggap sebagai keterangan baharu atau tambahan hanya timbul selepas perbicaraan selesai memandangkan BUDI95 dan SARA100 hanya wujud selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi selesai.
“Penerimaan keterangan baharu adalah suatu budi bicara mahkamah dan digunakan secara berhati-hati. Tuntutan perayu terhadap responden di Mahkamah Tinggi adalah berasaskan kepada dakwaan keingkaran responden dalam suatu tempoh yang ditetapkan, khususnya sehingga 27 Januari 2020.
“Pembelaan responden juga tertumpu kepada dakwaan keingkaran sehingga tarikh tersebut sahaja yang mana responden telah memperincikan setiap tindakan yang diambil sehingga tarikh berkenaan. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan keterangan dan fakta dalam tempoh tersebut,”ujar Hakim Mohamed Zaini ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.
Beliau menyatakan keterangan baharu yang dimohon tidak menyentuh mengenai dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah terdahulu dan tuntutan oleh Indira juga berlandaskan peristiwa yang berlaku sehingga 27 Januari 2020 dan bukannya berasaskan pelanggaran berterusan.
“Pada hemat kami, keperluan bahawa keterangan tersebut akan mempunyai pengaruh penting terhadap keputusan tidak dipenuhi. Pada pandangan kami, permohonan ini tidak menunjukkan sebarang keadaan yang membolehkan kami menggunakan budi bicara untuk menerima keterangan baharu tersebut,” ujar hakim itu tanpa membuat sebarang perintah berhubung kos.
Pada prosiding hari ini, kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin manakala Indira diwakili peguam, Rajesh Nagarajan.
Panel terbabit kemudian menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan rayuan Indira terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap kesemua responden.
Selain Ketua Polis Negara, turut dinamakan sebagai responden ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
Pada 28 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan Indira atas alasan wanita terbabit gagal menunjukkan wujud niat jahat oleh polis bagi membolehkan tuntutan tersebut berjaya. – UTUSAN










