Lapan kanak-kanak maut ditembak bapa sendiri

Lapan kanak-kanak maut ditembak bapa sendiri

LOKASI kejadian tembakan di Shreveport, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang lelaki bertindak kejam menembak mati lapan orang kanak-kanak dengan tujuh daripadanya adalah anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian keganasan domestik di negeri Louisiana, awal pagi Ahad.

Pembunuhan beramai-ramai di sebuah rumah di bandar Shreveport itu merupakan insiden tembakan rambang paling ngeri di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih dua tahun, menurut data daripada Gun Violence Archive.

Dua wanita turut ditembak dan mengalami kecederaan parah, termasuk ibu kepada beberapa mangsa kanak-kanak yang terkorban. Bagaimanapun, jumlah sebenar anak kepada wanita tersebut masih belum dapat dipastikan.

Polis mengenal pasti penembak sebagai Shamar Elkins, 31. Suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan kenderaan yang dirampas sebelum dikejar oleh pihak polis yang kemudian menembak mati lelaki berkenaan.

“Pada akhir pengejaran tersebut, suspek keluar dari kenderaan dengan membawa senjata api dan akhirnya anggota kami terpaksa menembak suspek,” kata pegawai rendah polis, Koperal Chris Bordelon kepada pemberita.

Juruvideo AFP di lokasi melaporkan terdapat lima kesan lubang peluru pada pintu putih rumah dua tingkat itu. Orang ramai turut meletakkan jambangan bunga berhampiran kawasan kejadian sebagai tanda takziah.

Menurut Bordelon, mangsa yang terkorban berusia antara 18 bulan hingga 12 tahun. Tujuh daripada lapan mangsa merupakan anak kandung suspek sendiri.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian yang melibatkan bukti di tiga buah kediaman berbeza. Polis percaya Elkins bertindak sendirian dalam insiden yang diklasifikasikan sebagai gangguan domestik itu.

Rekod menunjukkan Elkins pernah ditangkap pada 2019 atas kesalahan senjata api dan mengaku bersalah, namun polis tidak mempunyai rekod penglibatan suspek dalam kes keganasan domestik sebelum ini.

Datuk Bandar Shreveport, Tom Arceneaux menyifatkan kejadian itu sebagai peristiwa yang amat menyayat hati kerana kesemua mangsa utama adalah kanak-kanak.

“Ini membuktikan bahawa kejahatan masih wujud di dunia dan kita perlu berjuang sedaya upaya untuk mengatasinya dengan kebaikan,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat sembilan kanak-kanak di kediaman kedua yang dikunjungi suspek. Seorang daripadanya terselamat dan kini dirawat di hospital akibat kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Laporan media tempatan, KTBS, menyatakan kedua-dua mangsa wanita ditembak di bahagian kepala. Salah seorang mangsa yang ditembak di bahagian bawah muka berjaya melarikan diri untuk meminta bantuan jiran bagi menghubungi talian kecemasan 911 sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×