FBM KLCI lepasi 1,700 mata JIKA rundingan AS-Iran positif

FBM KLCI lepasi 1,700 mata JIKA rundingan AS-Iran positif

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi melepasi paras 1,700 mata seawal minggu ini, sekiranya rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai hasil yang positif.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, risiko luaran masih kekal ketara, khususnya berkaitan perkembangan geopolitik dan harga komoditi global.

“Oleh itu, pelabur dijangka terus mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Bursa Malaysia dan global dijangka kekal dalam mod berhati-hati dalam tempoh terdekat susulan gencatan senjata yang dijangka berakhir minggu hadapan, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan geopolitik dan sentimen pelabur.

Dalam masa sama, harga minyak mentah Brent masih didagangkan sekitar paras AS$98 (RM387.39) setong, disokong jangkaan bahawa satu kesepakatan mungkin dicapai dalam rundingan seterusnya melibatkan kuasa besar dunia.

“Di sebalik ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026.

“Kadar ini mengatasi pertumbuhan ekonomi China (5.0 peratus) dan Singapura (4.6 peratus), sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi domestik.

“Perkembangan ini dijangka menyokong sentimen positif dalam pasaran saham tempatan, dengan aliran dana asing menunjukkan trend kemasukan bersih sepanjang bulan April,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,720 pada minggu ini, dengan potensi untuk menembusi paras psikologi 1,700 sekiranya pemangkin domestik kekal positif.

“Antara tumpuan utama pelabur adalah pengumuman awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pasaran ketika ini telah mengambil kira pertumbuhan sekitar 5.5 peratus tahun ke tahun.

“Sekiranya angka sebenar menyamai atau melebihi jangkaan tersebut, ia dijangka mengukuhkan naratif ‘soft-landing’ ekonomi Malaysia serta menarik aliran masuk dana asing dalam jangka pendek. Dari sudut sejarah, Bursa Malaysia lazimnya menunjukkan reaksi positif apabila data KDNK mengatasi jangkaan pasaran,” katanya.

Selain itu, jelasnya, beberapa sesi dagangan kebelakangan ini memperlihatkan pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih.

“Perkembangan ini disokong oleh kestabilan nilai ringgit, pengurangan sementara risiko geopolitik global serta penilaian pasaran Malaysia yang masih dilihat lebih menarik berbanding negara serantau.

“Kehadiran dana asing dianggap kritikal kerana ia mempengaruhi saham berwajaran tinggi serta meningkatkan kecairan keseluruhan pasaran,” katanya.

Dalam masa sama, sektor perbankan dan kewangan dijangka terus menjadi tunjang pasaran, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta jangkaan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus.

Secara keseluruhan, Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara positif tetapi selektif minggu hadapan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang stabil walaupun sentimen global masih rapuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×