DALAM era moden yang menyaksikan dapur bukan lagi sekadar ruang memasak, tetapi turut menjadi pusat gaya hidup dan kreativiti, keperluan terhadap peralatan dapur yang menggabungkan fungsi dan estetika semakin mendapat perhatian.
Menyedari perubahan ini, TEKA tampil meraikan pencapaian melangkaui 100 tahun dalam industri peralatan rumah dengan memperkenalkan koleksi dapur baharu yang menekankan gabungan seni, inovasi dan teknologi.
Di bawah tema “Beyond 100 Years – Designing the Next Chapter,” jenama global itu mengetengahkan legasi reka bentuknya sambil memperkenalkan dua koleksi utama yang direka untuk memenuhi keperluan dapur masa hadapan.
Dua koleksi tersebut ialah Edisi Van Gogh Museum yang berinspirasikan seni dan Edisi Infinity G1 yang menampilkan keanggunan reka bentuk serta kecanggihan fungsi.
Bagi koleksi Edisi Van Gogh Museum, ia dihasilkan menerusi kerjasama dengan Muzium Van Gogh di Amsterdam dan diinspirasikan daripada karya ikonik seperti Sunflowers serta lakaran artis terkenal itu.
Koleksi ini merangkumi set dapur lengkap termasuk ketuhar, ketuhar gelombang mikro, dapur induksi dan gas, hud penyedut serta peti sejuk kombo yang direka dengan teliti untuk menggabungkan nilai estetika dan prestasi tinggi.
Pendekatan ini menjadikan setiap peralatan bukan sekadar berfungsi, tetapi turut membawa elemen seni ke dalam ruang dapur, sekali gus mencipta suasana yang lebih inspiratif dan unik di kediaman.
Sementara itu, Edisi Infinity G pula menampilkan reka bentuk moden dengan kemasan hitam matte serta sentuhan tembaga yang diinspirasikan daripada elemen barang kemas mewah, automotif premium dan teknologi terkini.
Koleksi ini merupakan hasil kolaborasi antara TEKA dan Italdesign Giugiaro, yang menggabungkan kepakaran reka bentuk Itali dengan ketepatan kejuruteraan Jerman bagi menghasilkan produk dapur yang bukan sahaja bergaya, tetapi juga praktikal.
Antara kelebihan utama koleksi ini termasuk reka bentuk yang harmoni, kemudahan penggunaan serta prestasi yang konsisten untuk kegunaan jangka panjang, menjadikannya sesuai untuk dapur moden yang mementingkan keseimbangan antara fungsi dan estetika.
Menurut Pengarah Urusan TEKA Malaysia, Stan Fong, dapur kini dilihat sebagai ruang yang mencerminkan kreativiti dan gaya hidup pengguna, bukan sekadar tempat menyediakan makanan.
Sehubungan itu, kedua-dua koleksi ini diperkenalkan bagi memenuhi aspirasi tersebut dengan menggabungkan elemen seni, inovasi dan teknologi dalam satu ekosistem dapur yang lengkap.
Dalam memastikan kelangsungan inovasi, TEKA turut memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu penyelidikan dan pembangunan (R&D), rantaian bekalan serta kecekapan operasi.
Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap produk yang dihasilkan kekal kompetitif, berkualiti tinggi serta mampu memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah.
Selain itu, usaha berterusan dalam memperkukuh rantaian bekalan dan operasi membolehkan jenama itu memberikan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada pelanggan dan rakan niaga.
Melangkaui satu abad, TEKA terus komited dalam membentuk masa depan dapur dengan menggabungkan elemen seni, teknologi dan kelestarian bagi menghasilkan ruang yang lebih berfungsi dan diperibadikan.
Bersempena sambutan ini, cef selebriti Datuk Chef Wan turut mengadakan demonstrasi masakan secara langsung menggunakan peralatan dapur TEKA bagi menunjukkan keupayaan produk dalam meningkatkan pengalaman memasak. – UTUSAN










