BAGI pecinta makanan pedas, nama Dapo Mek Suri di Waterfront Pulau Kambing di Kuala Terengganu, Terengganu bukan lagi asing dalam kalangan penggemar sajian berasaskan sambal.
Keistimewaan premis ini bukan sekadar pada ayam penyetnya tetapi pilihan 13 jenis sambal ‘menyengat’ yang mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja ketika menikmatinya.
Masuk sahaja ke premis ini, pengunjung sudah dapat menghidu aroma sambal yang digaul segar setiap hari. Dari sambal klasik hingga yang moden dengan sentuhan kreatif, setiap satu menawarkan karakter rasa tersendiri iaitu pedas dan manis yang tidak berlebihan, tetapi cukup seimbang dengan cita rasa Pantai Timur.

Pemiliknya, Intan Surina Alias, 50, berkata, perniagaannya bermula secara sederhana kira-kira sedekad lalu dengan hanya satu menu utama iaitu nasi ayam penyet.
“Ketika mula berniaga, ayam penyet belum begitu dikenali di Terengganu. Jadi saya olah resipi supaya sesuai dengan selera orang kita iaitu pedas, tetapi ada sentuhan rasa manis,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sambutan yang semakin menggalakkan daripada pelanggan mendorongnya untuk berinovasi. Apabila memasuki tahun ketiga operasi, dia mula memperkenal pelbagai jenis sambal sebagai pelengkap kepada menu utama.
“Dari situ tercetus idea untuk menghasilkan pelbagai sambal yang bukan sahaja pedas tetapi ada keunikan tersendiri hingga membuatkan pelanggan ingin mencuba semuanya,” ujarnya.
Kini, Dapo Mek Suri menawarkan 13 jenis sambal iaitu sambal penyet, geprek, gepuk, kemangi, tomato, petir, padang (merah dan hijau), tempoyak gajus, mangga, pecak, totok serta sambal tempong yang merupakan ciptaan terbaharu.
Semua sambal itu dihasilkan menggunakan cili merah Vietnam yang terkenal dengan tahap kepedasan lebih tinggi, sekali gus memberikan rasa yang ‘padu’ kepada setiap hidangan.
“Setiap tahun saya hasilkan satu sambal baharu. Antara yang paling mendapat sambutan adalah sambal gepuk yang dihidangkan bersama sambal pecak secara percuma.
“Ramai pelanggan gemar mencampurkan beberapa jenis sambal dalam satu hidangan untuk merasai gabungan rasa yang berbeza,” katanya.
Selain sambal, ayam berempah yang menjadi pasangan utama hidangan juga digemari pengguna. Diperap dengan ramuan rahsia, ayam tersebut digoreng sempurna hingga rangup di luar namun kekal juicy di dalam, cukup sesuai dipadankan dengan sambal pilihan.
Tidak terhad kepada ayam, pelanggan boleh menikmati pelbagai lauk lain seperti ikan keli goreng, daging goreng, tilapia goreng dan sotong. Malah, hidangan sampingan seperti kerabu kaki, perut air asam, dalca serta ulam-ulaman segar turut melengkapkan pengalaman menjamu selera ala kampung di Dapo Mek Suri.
Dengan kekuatan 10 kakitangan, Dapo Mek Suri beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 3.30 petang, Ahad hingga Khamis. Walaupun tempoh operasi agak singkat, kehadiran pelanggan tidak pernah putus, terutama pada waktu makan tengah hari.
Katanya, dia turut menyediakan perkhidmatan penghantaran sekiranya pelanggan membuat tempahan melalui atas talian.
Keunikan konsep ‘pilih sambal sendiri’ dan kepelbagaian rasa yang ditawarkan menjadikan Dapo Mek Suri bukan sekadar tempat makan, tetapi satu destinasi wajib singgah bagi pecinta makanan pedas di Kuala Terengganu.
Bagi mereka yang gemarkan cabaran rasa, menikmati 13 jenis sambal di sini ibarat satu pengembaraan rasa iaitu dari pedas menyengat hingga ke pedas manis yang memikat selera. – UTUSAN










