JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan peranti perubatan dalam negara susulan ketidaktentuan pasaran disebabkan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jaminan itu selepas Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menjalin kerjasama strategik dengan China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
Katanya, ini adalah salah satu langkah mitigasi yang telah dilaksanakan kementerian secara berterusan bagi memastikan rantaian bekalan peranti perubatan dalam negara tidak terjejas.
“MDA telah memuktamadkan satu persetujuan strategik bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan.
“Inisiatif ini bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia. Bekalan tambahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, kerajaan merakamkan penghargaan kepada China atas komitmen dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan bahan mentah industri peranti perubatan serantau.
“Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan bahan mentah ini mencukupi untuk terus membuat peranti-peranti perubatan. Yang penting, kita tidak lagi berdepan gangguan bekalan. Hal yang terkait dengan harga, itu adalah dalam rundingan prinsip ‘willing buyer, willing seller’,” katanya. – UTUSAN










