JASIN: Pemandu bas ekspres yang tular memandu sambil meriba seorang wanita dijatuhi hukuman penjara masing-masing 12 bulan dan enam bulan oleh Mahkamah Majistret Jasin di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan orang awam.
Tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mahkamah memerintahkan Arif Fahmi dipenjara 12 bulan dan didenda RM5,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, manakala Nur Adila Najwa dipenjara enam bulan dan didenda RM5,000.
Jika gagal membayar denda, wanita itu akan dikenakan tambahan dua bulan penjara.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama pada 12 April lalu kira-kira pukul 7.30 malam di susur keluar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
Arif Fahmi yang ketika itu memandu sebuah bas ekspres didakwa memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam sambil memangku kekasihnya sehingga mencetuskan kegusaran, termasuk membabitkan keselamatan kira-kira 27 penumpang.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Nur Adila Najwa turut dituduh mengeluarkan kata-kata kesat dan memghina terhadap seorang perempuan yang juga penumpang bas berkenaan kira-kira pukul 6.00 petang yangdi tempat dan tarikh sama.
Dia dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1935 dan kemudiannya membuat pengakuan bersalah serta dikenakan hukuman denda sebanyak RM100.
Semasa rayuan, Arif Fahmi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan telah menyerah diri dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila menyerah diri datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin selain mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam selepas kejadian tersebut.
“Saya menanggung ibu dan adik dan saya mohon maaf serta berharap diberikan peluang,” katanya.
Sementara itu, Nur Adila Najwa turut merayu hukuman ringan dengan alasan ingin menyambung pelajaran.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Noor Syazwani Mohamad Yusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan tersebut melibatkan kepentingan awam.
Menurut pihak pendakwaan, tindakan tertuduh memandu secara berbahaya telah menimbulkan kegusaran orang ramai serta menjejaskan keyakinan terhadap perkhidmatan bas ekspres.
“Ini merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan ramai penumpang. Malah, lesen memandu tertuduh lelaki juga telah tamat tempoh sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan hukuman tersebut sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan. – UTUSAN










