Mohd. Nizar saksi kekejaman Israel - Utusan Malaysia

Mohd. Nizar saksi kekejaman Israel

Gambar daripada keratan Utusan Malaysia enam rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika misi bantuan ke Palestin pada 2010 yang masih disimpan Mohd. Nizar Zakaria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETIK cemas ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza 11 tahun lalu bagi membantu penduduk Palestin yang diserang tentera Israel masih segar dalam ingatan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria.

Beliau antara peserta misi pengaman ke Palestin bersama lima lagi rakyat Malaysia, melihat sendiri betapa kejamnya tentera Zionis yang tiada nilai kemanusiaan terhadap sesiapa sahaja yang membantu Palestin.

“Melihat kekejaman Israel terhadap Palestin sejak beberapa minggu ini membuatkan saya terkenang peristiwa 11 tahun lalu di mana saya di dalam misi kemanusiaan menaiki kapal Rachel Corrie pada tanggal 6 Jun 2010.

“Kekasaran mereka terhadap 19 penumpang kapal Rachel Corrie termasuk saya dan lima lagi rakyat Malaysia tidak dapat dilupakan lebih-lebih lagi ketika rejim Zionis itu mengacukan senapang ke arah kami,” katanya.

Kapal Rachel Corrie di pelabuhan Ashdod, Israel yang dinaiki Mohd. Nizar Zakaria dan beberapa rakyat Malaysia selepas mereka ditahan tentera Israel ketika misi bantuan rakyat Palestin pada tahun 2010.

Mohd. Nizar berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama peserta yang lain baru selesai solat Subuh sebelum melihat kerlipan lampu daripada dua kapal yang semakin menghampiri mereka.

Menurutnya, mereka telah bersiap sedia apa sahaja yang bakal berlaku dan semakin lama semakin dekat dan ternampak pula dua lagi kapal perang Israel menuju ke kapal Rachel Corrie dari hadapan.

Katanya, ini bermakna terdapat empat kapal mengepung serta terus berada di sisi kanan dan kiri dengan tentera mengacu meriam dan senjata api ke arah Kapal Rachel Corrie yang berada di tengah-tengah.

“Saya bersama anak kapal yang lain berpandangan antara satu sama lain sambil menunjukkan genggaman tangan dan membuat lingkaran bulatan tanda berpadu sebagai isyarat tabah, kuat serta tawakal.

“Apa sahaja episod yang bakal berlaku tetap dilalui dan berpegang teguh kepada prinsip kami hanya ingin menghulurkan bantuan kepada masyarakat Gaza dan kami tidak mengundang kapal perang Zionis berkenaan.

“Tentera Israel kemudiannya menghubungi kapal dan mengarahkan kami berdiri serta mengangkat tangan di atas kepala sebagai tanda menyerah,” katanya.

Menurut Mohd Nizar, tentera Zionis kemudiannya mengarahkan kapal Rachel Corrie berpatah balik dan tidak meneruskan pelayaran ke Gaza.

Katanya, pihak Israel juga mendakwa kapal yang kami naiki membawa senjata api selain menceroboh perairan mereka walaupun realitinya kami masih berada di luar perairan antarabangsa.

“Namun semua arahan dan syarat yang dikenakan itu tidak kami patuhi kerana kapal Rachel Corrie berada di perairan antarabangsa dan niat kami adalah menghantar misi kemanusian ke Gaza sahaja,” katanya.

‘ANJING BESAR, LASER MERAH DI KEPALA’

Selepas semua arahan ditolak oleh kapten serta anak kapal, tentera Israel kemudian bertindak menghantar enam bot kecil dengan jumlah 10 ke 12 tentera dalam setiap bot.

Bagaimanapun Mohd. Nizar bersama anak kapal yang lain tidak gentar malah tekad untuk meneruskan misi kemanusiaan berkenaan dalam membantu penduduk Gaza yang memerlukan pertolongan saat itu.

“Ia berlaku begitu pantas. Sedar-sedar sahaja tentera Israel sudah berada di atas kapal bersama dua ekor anjing yang cukup besar untuk memeriksa kami kerana dikatakan membawa senjata.

“Dalam masa sama mereka telah menawan kapal Rachel Corrie dan berdiri di setiap penjuru dengan menghalakan senapang ke arah kami di mana kami boleh lihat dengan jelas laser merah di dada dan kepala semua anak kapal,” katanya.

Menurut Mohd. Nizar, dia kemudiannya terlihat beberapa tentera Zionis itu berlari pantas ke arah bendera Malaysia yang sedang berkibar di atas tiang kapal berkenaan.

“Mereka kemudian segera menurunkan bendera Malaysia dan terus memijak-mijak serta membuangnya menyebabkan saya berasa sakit hati serta geram dengan tindakan mereka.

“Tidak cukup daripada itu mereka mengambil pasport saya lalu menyebut Malaysia Stupid Mahathir serta melemparkannya ke satu sudut,” katanya.

Mohd. Nizar berkata, tidak lama kemudian mereka terasa seperti kapal Rachel Corrie bergerak dengan perlahan dan terlihat ia sedang ditunda oleh tentera Israel tanpa mengetahui ke mana tujuannya.

Katanya, mereka kemudiannya tiba di sebuah pelabuhan dan ia adalah pelabuhan Ashdod sambil ramai menanti kami termasuklah wartawan Israel yang tidak henti-henti mengambil gambar.

“Lebih sakit hati tentera Israel membuka kotak yang mengandungi makanan, coklat, mainan dan alat tulis untuk anak-anak di Gaza dan dipunggah atas kapal lalu mengarahkan kami lalu atas barang tersebut,” katanya.

DIHENTAK DENGAN SENJATA

Mohd Nizar berkata, dia bersama lima lagi rakyat Malaysia iaitu Matthias Chang; sukarelawan PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukamera, Mohd. Jufri Judin dibawa ke bilik siasatan sebelum ke pusat tahanan.

Katanya, dia dibawa melalui satu lorong gelap sehingga ke Black Maria.

“Saya berhenti sebentar, kemudian tiba-tiba saya dihentak dengan banet tajam oleh tentera Israel sehingga menyebabkan sakit tulang belakang.

“Saya ditolak masuk ke dalam Black Maria oleh tentera Zionis dan saat itu saya terjumpa dengan Ahmad Faizal yang dalam keadaan lemah akibat tekanan yang dilakukan oleh tentera Israel,” katanya.

Mohd Nizar Zakaria menunjukkan laporan akhbar mengenai kejadian kapal misi bantuan rakyat Malaysia yang ditahan Israel pada tahun 2010. – UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID

Menurutnya, dia bersama lima lagi rakannya ditempatkan dalam penjara yang sama dan salah seorang daripada mereka melakukan sujud syukur kerana berasa lega dapat berjumpa semula.

Katanya, dalam tempoh tahanan, mereka diberi makanan tetapi tapi takut untuk menjamahnya dibimbangi mengandungi arsenik.

Jelasnya, walaupun perasaan berdebar-debar, mereka berdoa agar dibebaskan.

“Keesokan harinya kami menerima perkhabaran gembira kami akan dibebaskan dan diiringi keluar tentera ke arah bas yang telah disediakan,” katanya.

Kata Mohd. Nizar, dalam perjalanan ke Allenby Bridge, Jordan mereka melihat padang pasir yang begitu luas dan penempatan umat Islam diroboh ada yang memanggil-manggil mereka merayu bantuan.

“Setibanya kami di Allenby Bridge Jordan, kami disambut oleh Kedutaan Malaysia dan wartawan antarabangsa serta berhubung dengan isteri memaklumkan keadaan diri selamat,” katanya.

Beliau berkata, mereka seterusnya dibawa kedutaan Malaysia sebelum pulang ke tanah air dengan penerbangan Royal Jordan dan transit di Thailand seterusnya sampai di Malaysia.

Menurutnya, pengalaman itu masih segar di dalam ingatannya dan ia tidak sedikit sebanyak mematahkan semangatnya untuk terus membantu rakyat Palestin.

“Saya berdoa agar umat Islam di bumi Palestin tabah, kuat dalam menjaga tanahair dan Insha-Allah kemenangan akan dicapai.

“Seseungguhnya kenangan dan perjuangan bersama sukarelawan misi bantuan ke Gaza 2010 akan diingat sampai mati,” katany

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×