Zetrix AI wakili Asean sebagai ahli pengasas Pertubuhan Data Dunia

Zetrix AI wakili Asean sebagai ahli pengasas Pertubuhan Data Dunia

TS Wong (empat dari kanan) pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Data Dunia (WDO) di Beijing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zetrix AI Berhad (Zetrix AI), sebelum ini dikenali sebagai MY E.G. Services Berhad, mengumumkan penyertaannya sebagai ahli pengasas utama Pertubuhan Data Dunia (WDO) yang baru dilancarkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, setiap entiti memegang data berharga dan WDO memainkan peranan penting dalam membolehkan nilai ini didedahkan, seterusnya mencipta sumber kekayaan baharu.

Menurutnya, ejen AI yang dibina berasaskan set data komprehensif itu boleh melaksanakan tugas dengan tahap ketepatan dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.

“Zetrix AI mempunyai sejarah kerjasama yang mendalam dengan entiti terkemuka China seperti Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China, Pentadbiran Am Kastam China dan Kumpulan Pelaburan Teknologi Inovasi IT Guangxi Beitou.

“Zetrix AI terus memupuk kerjasama antara ASEAN dan China bagi memacu kemajuan canggih dalam bidang AI, rantaian blok (blockchain) serta robotik melalui inisiatif Makmal AI ASEAN-China yang disokong oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pendekatan kerjasama dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital ini bakal dikembangkan lagi ke arah merungkai nilai aset data global yang belum diterokai.

“Usaha ini disokong dengan langkah-langkah yang sedang digerakkan untuk mewujudkan sebuah pasaran data global menerusi perkongsian dengan sebuah bursa terkemuka.

“Sebagai ahli pengasas, Zetrix AI telah diberi mandat untuk menganggotai majlis perasmian pertubuhan tersebut dan bertindak sebagai wakil utama bagi rantau Asean,” katanya.

Beliau berkata, keahlian badan antarabangsa itu merangkumi pelbagai latar belakang termasuk perusahaan, institusi akademik, organisasi kewangan dan entiti sektor data global.

“Fokus utama WDO adalah menangani ketidakselarasan dasar data global, memupuk konsensus industri dan menyarankan amalan terbaik bagi membantu kerajaan serta mengurangkan kos pematuhan syarikat multinasional.

“Pertubuhan ini juga memfokuskan pembinaan ekosistem melalui aplikasi data dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan tenaga bagi memacu inovasi industri.

“WDO juga komited dalam mengukuhkan pembangunan bakat bagi merapatkan jurang digital terutamanya di negara-negara Selatan Global dan negara sedang membangun,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping berkata, WDO yang mempunyai beribu pejabat di Beijing telah dilancarkan secara rasmi pada 30 Mac 2026.

“WDO diiktiraf sebagai platform berharga bagi mendalami kerjasama data antarabangsa serta memperbaiki tadbir urus data global.

“Perhimpunan sulung ini membawa tema pembinaan bersama platform kerjasama data dan perkongsian peluang pembangunan digital.

“Negara China akan bekerjasama dengan semua pihak untuk memudah cara aliran data yang selamat, mempromosikan inovasi digital, serta memastikan dividen data memberi manfaat kepada rakyat di semua negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×