Kenaikan harga petrokimia dijangka terhad pada paras semasa

Kenaikan harga petrokimia dijangka terhad pada paras semasa

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan harga produk petrokimia daripada baja hingga resin plastik kini berdepan penilaian semula apabila penganalisis menjangkakan potensi kenaikan lanjut adalah terhad pada paras semasa.

RHB Research berkata, walaupun harga dijangka kekal tinggi dalam jangka pendek susulan gencatan senjata di Asia Barat yang masih rapuh, kenaikan harga baja dan metanol ketika ini dipercayai telah mengambil kira gangguan bekalan semasa.

Menurutnya, potensi kenaikan lanjut adalah terhad melainkan berlaku persekitaran harga yang lebih ekstrem.

“Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk menyekat Selat Hormuz selepas rundingan damai dengan Iran gagal hujung minggu lalu, sekali gus berisiko memanjangkan konflik yang kini memasuki bulan kedua.

“Laluan perairan itu penting kepada aliran global petrokimia termasuk urea yang dieksport oleh pengeluar utama seperti Qatar dan Arab Saudi.

“Harga urea yang digunakan sebagai baja pertanian serta resin industri juga melonjak sehingga 70 peratus di beberapa pasaran sejak konflik Iran tercetus pada Mac.

“Setakat tahun ini, harga purata urea sekitar AS$568 (RM2,246.66) satu tan dan kini didagangkan pada kira-kira AS$800 (RM3,164.31) satu tan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma itu berkata, Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) yang menghasilkan urea serta produk petrokimia lain dijangka meraih pengembangan margin susulan harga jualan purata yang tinggi.

“Ini dengan kesan terhadap pendapatan mula direalisasikan seawal April, menurut Hong Leong Investment Bank.

“Bagaimanapun, kelestarian harga tinggi tersebut selepas 2026 diramal kekal tidak menentu berikutan jangkaan penormalan bekalan secara beransur-ansur seiring pengurangan gangguan geopolitik,” ujarnya.

Saham PCG hampir meningkat dua kali ganda sejak pelancaran kempen ketenteraan AS-Israel terhadap Iran.

Menurut Bloomberg, terdapat sembilan saranan ‘beli’, sembilan ‘pegang’ dan dua ‘jual’ bagi saham berkenaan dengan harga sasaran purata RM5.80.

Saham itu ditutup rehat tengah hari pada RM5.90, susut 12 sen atau hampir dua peratus dalam dagangan Selasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×