Harga gas komersial naik, industri tertekan

Harga gas komersial naik, industri tertekan

HARGA jualan gas komersial tong 50 kilogram (kg) dilaporkan meningkat antara RM280 ke RM320 ketika ini, kenaikan sebanyak RM50 yang dijangka memberi kesan besar kepada pelbagai sektor perniagaan dan industri. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Harga jualan gas komersial tong 50 kilogram (kg) dilaporkan meningkat antara RM280 ke RM320 ketika ini, kenaikan sebanyak RM50 yang dijangka memberi kesan besar kepada pelbagai sektor perniagaan dan industri.

Kenaikan ini paling dirasai oleh pengusaha kedai dobi, kilang kecil dan sederhana, pengguna forklift serta kedai makan yang bergantung kepada gas sebagai sumber tenaga utama.

Bagi pengusaha kedai-kedai dobi, kos operasi dijangka melonjak kerana penggunaan gas diperlukan untuk mesin pengering industri yang beroperasi hampir setiap hari.

Presiden Persatuan Pengedar Gas Malaysia (GDAM), Datuk Amadaldin Hamzah berkata, kilang-kilang kecil pula berdepan tekanan tambahan kerana gas digunakan dalam proses pengeluaran, sekali gus meningkatkan kos produk yang akhirnya ditanggung pengguna.

AMADALDIN HAMZAH

Katanya, pengendali forklift yang menggunakan gas sebagai bahan api turut terkesan, terutama di sektor logistik dan pergudangan yang bergantung kepada kelancaran operasi harian.

“Kedai makan dan restoran yang menggunakan gas untuk memasak juga tidak terkecuali, dengan kemungkinan harga makanan akan meningkat bagi menampung kos tambahan.

“Selain sektor perniagaan, kenaikan harga gas turut memberi kesan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan gas sebagai salah satu sumber penjanaan elektrik.

“Jika kenaikan ini berpanjangan, tarif elektrik berpotensi untuk meningkat kerana kos penjanaan tenaga akan bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Amadaldin berkata, kenaikan gas komersial itu memberi isyarat jelas bahawa pengguna akhir akan menanggung beban tambahan.

Katanya, kerajaan perlu meneliti mekanisme kawalan harga agar tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana.

Beliau menegaskan, sektor makanan dan perkhidmatan antara yang paling cepat terkesan kerana margin keuntungan yang kecil.

“Kenaikan harga gas juga boleh mencetuskan kesan rantaian terhadap inflasi, apabila kos operasi meningkat lalu diterjemahkan kepada harga barang dan perkhidmatan.

“Dalam jangka panjang, pengguna domestik turut berdepan risiko kenaikan harga makanan dan minuman di pasaran,” katanya.

Jadi beliau berkata, langkah intervensi segera diperlukan bagi mengelakkan kenaikan tarif elektrik yang akan menambah beban rakyat.

“Jika tidak dikawal, kenaikan harga gas boleh menjejaskan daya saing industri tempatan, terutama dalam sektor eksport. Kenaikan RM50 bagi tong gas komersial bukan sekadar isu kos tenaga, tetapi memberikan kesan menyeluruh kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×