Batashuga manisan gaya jepun 

Batashuga manisan gaya jepun 

DAHLIA Natasya Muhamad Azlan memulakan Batashuga ketika tempoh PKP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik setiap manisan yang dihasilkan, tersimpan kisah minat, usaha dan kesungguhan seorang anak muda dalam membina empayar perniagaan sendiri.

Bagi Pengasas Batashuga, Dahlia Natasya Muhamad Azlan, 24, dunia kulinari khususnya pembuatan pencuci mulut bukan sekadar hobi, sebaliknya satu perjalanan yang akhirnya membawa kepada kelahiran jenama miliknya.

Minat terhadap dunia baking mula berputik seawal usia sembilan tahun, malah sejak di bangku sekolah lagi, beliau sudah mula menjual pencuci mulut kepada rakan-rakan sebagai aktiviti sampingan.

Dahlia Natasya berkata, pengalaman awal itu menyedarkan beliau bahawa kemahiran yang dimiliki bukan sahaja menyeronokkan, malah berpotensi besar untuk dijadikan sumber pendapatan utama.

“Batashuga bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), satu fasa yang membuka peluang kepada ramai usahawan untuk mencuba perniagaan dalam talian.

“Bermula secara kecil-kecilan dengan menjual kepada rakan dan ahli keluarga, saya memanfaatkan platform Instagram untuk mempromosikan produk. Dari situ, jenama ini mula dikenali sedikit demi sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Meskipun industri pencuci mulut kini semakin berkembang dengan persaingan sengit, Batashuga tampil dengan pendekatan tersendiri melalui konsep ‘Japanese-inspired’ yang menjadi identiti unik jenama tersebut.

Fokus utama Dahlia Natasya adalah menawarkan produk berkualiti tinggi namun pada harga yang mampu milik, sekali gus menjadikan Batashuga pilihan utama pelanggan yang ingin mendapatkan pencuci mulut untuk pelbagai majlis tanpa perlu berbelanja besar.

Namun, menguruskan perniagaan secara sendirian mempunyai cabarannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila beliau turut mempunyai komitmen pekerjaan tetap.

“Cabaran utama adalah mengendalikan tempahan dalam jumlah yang banyak dalam masa yang terhad. Namun, dengan minat yang mendalam, segala kepenatan menjadi berbaloi.

“Pengurusan masa yang baik serta penetapan had tempahan menjadi kunci bagi memastikan kualiti dan kepuasan pelanggan sentiasa terjaga,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai strategi pemasaran, Dahlia  Natasya mengakui kekuatan visual di media sosial memainkan peranan penting dalam menarik selera pelanggan. 

“Dengan menyasarkan golongan muda dan penggemar manisan estetik, saya memastikan setiap hantaran di Instagram bukan sekadar memaparkan produk, malah menceritakan proses di sebalik tabir pembikinan dessert tersebut.

“Selain kualiti rasa, Batashuga turut memberi penekanan terhadap perkhidmatan pelanggan,” katanya.  

Menurut Dahlia Natasya, maklum balas daripada pembeli diambil secara serius untuk menambah baik kualiti produk dari semasa ke semasa. 

Hubungan akrab yang dibina ini menyebabkan Batashuga mempunyai kelompok pelanggan setia yang sentiasa menantikan menu-menu baharu.

Dalam mendepani kenaikan harga bahan mentah seperti mentega dan coklat berkualiti tinggi, Dahlia Natasya tetap komited untuk tidak menaikkan harga secara mendadak. 

Beliau lebih rela mengurangkan margin keuntungan buat sementara waktu demi memastikan produknya terus mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, selari dengan prinsip asal penubuhan Batashuga.

Melangkah ke hadapan, Dahlia Natasya tidak hanya mahu tertumpu kepada jualan secara pesanan dalam talian semata-mata. 

Beliau mempunyai impian untuk memiliki sebuah studio baking atau kiosk fizikal suatu hari nanti, yang mana pelanggan boleh merasai sendiri pengalaman ‘Japanese-inspired’ secara terus dalam suasana yang lebih eksklusif.

Sehingga kini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan majoriti pembeli terdiri daripada pelanggan tetap, selain pelanggan baharu yang mengenali Batashuga melalui cadangan mulut ke mulut.

Sebagai pesanan buat golongan muda, Dahlia Natasya menekankan supaya jangan takut untuk mencuba meskipun sudah mempunyai pekerjaan tetap.

“Gunakan apa sahaja kemahiran yang ada. Jangan takut untuk mempromosikan diri dan perniagaan.

“Sentiasa bangga dengan setiap pencapaian kecil kerana itulah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN