TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan sedang menyiapkan langkah untuk menguatkuasakan syarat operasi baharu di Selat Hormuz, yang hampir sepenuhnya ditutup sejak perang dengan AS- Israel bermula.
“Pasukan tentera laut IRGC sedang menyiapkan persiapan operasi bagi #pelan_diisytiharkan pihak berkuasa Iran untuk tatanan baharu Teluk Parsi,” kata pasukan tentera laut IRGC dalam satu hantaran di X pada Ahad.
Mereka memberi amaran keadaan di selat itu tidak akan kembali seperti sediakala, terutamanya bagi AS dan Israel.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengulangi ancaman untuk menyerang loji janakuasa dan jambatan Iran sekiranya laluan perkapalan penting itu tidak dibuka semula.
Sejak perang bermula pada 28 Februari, Iran hanya membenarkan pergerakan terhad melalui laluan air itu, mengganggu aliran kira-kira 20 peratus minyak dan gas global.
Pada Ahad, agensi berita rasmi Oman berkata, Iran dan Oman telah mengadakan perbincangan mengenai pelonggaran laluan melalui selat itu, yang kekal ditutup akibat konflik.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ahli Parlimen Iran mencadangkan untuk mengenakan tol dan cukai ke atas kapal yang melalui laluan tersebut.-AFP










