PETALING JAYA: Industri perhotelan negara memerlukan suntikan vaksin segera untuk semua kakitangannya bagi meneruskan perniagaan setelah mengalami kerugian lebih RM5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, ia termasuk kerugian RM300 juta untuk setiap dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Suntikan ini penting kerana pengusaha hotel setiap hari berdepan wabak Covid-19 yang juga dihadapi oleh pakar perubatan dan kerajaan. MAH yang mula-mula mencadangkan vaksinasi pekerja pelancongan dan hotel pada awalnya diminta memberi nama pekerja hotel untuk pertimbangan vaksin.
“Tetapi bekalan yang terhad menjadikan proses vaksinasi sukar. Namun dengan adanya bekalan vaksin baharu, MAH sekali lagi menyerahkan nama pekerja hotel kepada kerajaan dengan harapan berada dalam senarai barisan hadapan ekonomi yang masih beroperasi sebagai perkhidmatan penting,” katanya.
Dalam tempoh 15 bulan baru-baru ini katanya, hampir 28 peratus pengusaha hotel telah mengurangkan bilangan kakitangan, malah, ada yang mengurangkan bilangan pekerja sebanyak lebih 51 peratus setakat ini.
“Hampir 45 peratus pengusaha hotel masih mengenakan pemotongan gaji, sementara 63 peratus pekerja hotel direhatkan tanpa gaji.
“Sejak tahun lepas, kami mengesan sekurang-kurangnya 120 buah hotel telah ditutup dengan dua buah hotel tutup sepenuhnya manakala 91 lagi tutup sementara,” katanya.
Katanya, pengusaha hotel sudah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan pendapatan seperti menjual makanan di tepi jalan, menawarkan tempat untuk bekerja di hotel serta perkhidmatan pembersihan namun semuanya tidak menguntungkan.
Selain itu, katanya, MAH turut berkolaborasi dengan Tourism Malaysia dan Shopee untuk menawarkan penginapan dengan diskaun yang besar bagi membolehkan hotel terus memperoleh pendapatan.
“MAH juga memperkenalkan protokol keselamatan dan kebersihan dengan objektif utama untuk memastikan pekerja dan penghuni hotel tidak dijangkiti oleh Covid-19, atau penyakit berjangkit lain,” katanya.
Bagaimanapun, Lip Seng mengakui pakej rangsangan ekonomi yang disediakan kerajaan ketika ini hanyalah bantuan secara minimum dan bukan inisiatif secara spesifik.
“Kita berharap kerajaan memperluas program subsidi gaji untuk industri pelancongan dan hotel dengan kadar lebih tinggi iaitu 50 peratus bagi mereka yang berpendapatan hingga RM4,000 dan 30 peratus bagi mereka yang berpendapatan RM4, 000 ke atas, serta mereka yang berpendapatan maksimum RM8,000 sebulan.
“Program diskaun untuk utiliti, dari elektrik ke air dan juga pembentungan perlu diperkenalkan dan kami mencadangkan potongan 50 peratus untuk memastikan industri terus bertahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










