Tiada siapa menyangka, 9 Syawal yang sepatutnya disambut dalam suasana penuh keriangan bertukar menjadi detik paling hitam dalam hidup sebuah keluarga.
Amirul Hafiz Omar, 33, yang dalam perjalanan membeli buku sekolah anak-anaknya, tidak lagi kembali.
Perjalanan seorang suami dan ayah kepada tiga cahaya mata berusia antara dua hingga sembilan tahun itu akhirnya menjadi perjalanan terakhirnya di dunia ini.
Lebih memilukan, insiden itu berlaku akibat kecuaian manusia lain yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan tonggak keluarga, manakala seorang isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, terpaksa menerima hakikat pemergian insan tercinta dalam keadaan yang amat tragis dan sukar untuk ditelan.
Video Amirul maut apabila badannya terpelanting sebelum tercampak ke atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu mabuk, R. Saktygaanapathy, 28, tular, lantas membangkitkan kemarahan masyarakat yang kesal dengan insiden itu. Mahkamah Majistret mensabitkan pelaku tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada media menampilkan ibu bapa R. Saktygaanapathy, yang pasti hati keluarganya turut remuk mengetahui mabuk anaknya meragut nyawa insan lain tidak bersalah gara-gara arak.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata, pindaan undang-undang termasuk cadangan mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, perlu dalam menunjukkan keseriusan menangani isu ini. Ia sebagai usaha menambah nilai pencegahan, bukan sekadar menghukum pelaku.
Malaysia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 bagi kes menyebabkan kematian, manakala kes berulang boleh mencecah sehingga 20 tahun penjara. Namun, persepsi masyarakat masih melihat ada ruang ‘boleh bayar untuk lepas, yang akhirnya menjejaskan keberkesanan pencegahan. Ia dilihat tidak cukup menakutkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengakui bahawa hukuman sedia ada masih belum mencukupi untuk menimbulkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat. Hakikatnya, undang-undang tanpa penguatkuasaan tegas hanya tinggal di atas kertas.
Memandu di bawah pengaruh alkohol masalah sejagat. Di Singapura, pesalah dikenakan denda sekitar RM35,000, penjara sehingga 12 bulan bagi kesalahan pertama selain larangan memandu. Bagi kes berulang atau kes membabitkan kematian, hukuman boleh meningkat sehingga penjara 10 tahun dan hilang kelayakan lesen memandu secara kekal dalam tempoh tertentu.
Di Jepun pula, pendekatannya lebih tegas dari sudut tanggungjawab sosial, dengan denda mencecah sekitar RM30,000, selain hukuman penjara yang boleh dikenakan bukan sahaja kepada pemandu, tetapi penumpang yang membenarkan pemanduan dalam keadaan mabuk turut dipertanggungjawabkan.
Tragedi ini tidak seharusnya sekadar statistik, sebaliknya peringatan yang satu kesilapan boleh meragut nyawa insan yang tidak berdosa dan menghancurkan hati-hati orang yang tidak bersalah.
Penguatkuasaan daripada pihak polis juga perlu kerap dilakukan menangani insiden memandu dan mabuk. Memang kalau ikutkan langkah terbaik, arak patut diharamkan daripada dijual kerana minuman memabukkan ini, tidak langsung memberikan kebaikan kepada pengguna daripada pelbagai segi.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia
Hukuman tegas, kuatkuasa tangani pemandu mabuk

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved