CARA Aqmar Danish Radzi, 18, melihat dunia mungkin sedikit berbeza berbanding remaja normal lain, namun ia bukan alasan untuk mengehadkan potensi diri.
Kemampuannya terserlah dalam video pendek kebangsaan ‘Malaysia Di Mata Saya’ yang tular di media sosial.
Ia bukan sekadar video pendek, tetapi satu langkah besar untuk berkomunikasi dengan dunia melalui caranya sendiri.
Pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Johor ini merakam kehidupan sehariannya dengan pendekatan paling ringkas dan tulus.
Walaupun tanpa suntingan kompleks atau gaya penyampaian berlebihan, namun cukup untuk menyentuh hati ramai.
Kejujuran perspektif ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen sekali gus mengajak masyarakat melihat semula keindahan dalam kehidupan harian.
Pertandingan Malaysia Di Mata Saya dianjurkan oleh OG EduWorld dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Bucketlist.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan golongan muda merakam perspektif mereka terhadap Malaysia yang merangkumi budaya, kehidupan dan keindahan masyarakat.
Wakil penganjur berkata, kisah yang dikongsikan remaja autistik itu selari dengan semangat Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut hari ini, untuk memahami, bukan melabel di samping untuk melihat, bukan mengabaikan.
“Kami sentiasa percaya setiap kanak-kanak mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikan diri.
“Platform ini diwujudkan supaya lebih ramai kanak-kanak dapat dilihat, bukan ditentukan oleh label,” ujarnya.
Sehingga kini, penyertaan masih lagi dibuka dan pihak penganjur mengalu-alukan lebih banyak perkongsian agar masyarakat dapat melihat kekuatan golongan muda dan memberi peluang kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pandangan mereka tentang Malaysia.











