NAIB Presiden Filipina, Sara Duterte, yang sebelum ini dilihat sebagai tonggak penting dalam pakatan politik paling berpengaruh di negara itu, kini berdepan cabaran terbesar dalam kariernya susulan prosiding pemecatan.
Pendengaran awam berhubung kes pemecatan anak kepada bekas presiden Rodrigo Duterte itu bermula di Kongres pada 25 Mac lalu.
Perbicaraan pemecatan itu merupakan perkembangan terbaharu dalam pertikaian sengit antara dua dinasti politik utama negara itu, melibatkan keluarga Duterte dan Marcos.
Kedua-duanya sebelum ini membentuk pakatan politik yang kuat, namun kini berpecah secara dramatik.
Sara, 47, dituduh menyalahgunakan dana awam serta mengancam untuk membunuh Presiden Ferdinand Marcos Jr. Jika disabitkan kesalahan, beliau akan dilucutkan jawatan sebagai naib presiden dan dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya.
Pendengaran itu diadakan beberapa minggu selepas Duterte mengumumkan pencalonannya untuk jawatan presiden pada 2008. Marcos tidak boleh bertanding semula kerana negara itu hanya membenarkan satu penggal untuk jawatan presiden.

Pakatan Sara dan Marcos yang dibentuk semasa pilihan raya 2022 sebelum ini digelar sebagai ‘pasukan impian politik’ dan mereka menang dengan majoriti besar.
Namun, kerjasama antara anak kepada dua bekas presiden berkuasa itu mula retak apabila masing-masing mengejar agenda politik yang berbeza.
Sebagai naib presiden, Sara tiada tugas rasmi selain mengambil alih jawatan presiden sekiranya Marcos tidak dapat menamatkan penggal.
Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan. Presiden hanya dibenarkan memegang jawatan selama satu penggal enam tahun, manakala naib presiden boleh bertanding jawatan presiden selepas tamat penggal mereka.
Dari segi sejarah, dinamika ini sering mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pemimpin.
Presiden yang hanya memegang satu penggal lazimnya mahu mengekalkan pengaruh sebanyak mungkin sepanjang tempoh pemerintahannya, manakala naib presiden pula menggunakan jawatan tersebut sebagai batu loncatan untuk kempen presiden sekiranya itu matlamat utamanya.
Tanda awal keretakan dalam pakatan mereka muncul apabila Sara secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadi menteri pertahanan, namun beliau sebaliknya dilantik sebagai menteri pendidikan.
Beliau memegang jawatan itu selama dua tahun, dan dakwaan penyalahgunaan jutaan peso dana awam dikaitkan dengan tempoh tersebut. Sara menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan tuduhan itu sebagai gangguan politik.

MASA DEPAN POLITIK
Di bawah undang-undang Filipina, pegawai seperti presiden, naib presiden dan ketua hakim Mahkamah Agung boleh dipecat oleh Dewan Perwakilan sekiranya melakukan kesalahan, termasuk pelanggaran Perlembagaan, pengkhianatan, rasuah dan penyelewengan, sogokan, jenayah berat serta pengkhianatan terhadap kepercayaan awam.
Sara dipecat oleh Dewan pada Februari 2025, juga atas dakwaan rasuah dan ugutan terhadap presiden. Namun, keputusan itu dibatalkan Mahkamah Agung enam bulan kemudian atas alasan teknikal, prosiding pemecatan tidak boleh dijalankan lebih daripada sekali dalam tempoh setahun.
Keputusan mahkamah tertinggi itu bermakna Sara kebal daripada pemecatan selama setahun bermula Februari 2025. Kes baharu difailkan sejurus selepas tempoh larangan setahun itu tamat.
Aduan tersebut difailkan oleh pemimpin masyarakat sivil, paderi Katolik dan kumpulan berhaluan kiri, sebelum disokong oleh ahli Dewan Perwakilan.
Pada 25 Mac, Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan memulakan pendengaran kes dan meneliti bukti terhadap Sara serta jawapan bertulis beliau terhadap pertuduhan.
Seramai 24 senator negara itu bertindak sebagai hakim, manakala ketua hakim Mahkamah Agung akan menjadi pengerusi perbicaraan. Majoriti dua pertiga diperlukan untuk mensabitkan kes.
Proses pemecatan di Filipina sering dikaitkan dengan tempoh pergolakan politik. Pada penghujung 2000, presiden ketika itu, Joseph Estrada, dipecat susulan dakwaan rasuah.
Masa depan politik Sara Duterte kini menjadi taruhan kerana sabitan di Senat akan menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2028.
Beliau dilihat sebagai calon paling kuat untuk menggantikan Marcos. Tinjauan oleh firma penyelidikan terkemuka, Pulse Asia, pada Mac menunjukkan naib presiden itu mencatat kadar sokongan 55 peratus berbanding presiden sebanyak 36 peratus.










