Malaysia disenaraikan antara pengeluar sisa plastik yang tertinggi dalam negara Asia.
Ini susulan laporan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara mendedahkan negara ini menghasilkan sejumlah 0.5-1.9 kilogram (kg) perkapita sisa pepejal perbandaran dalam sehari.
Plastik adalah komposisi tertinggi iaitu 24 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa pepejal.
Daripada jumlah tersebut, Terengganu mencatatkan pengeluaran sisa tertinggi di antara negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Jumlah ini mencetuskan persoalan apakah kemungkinan yang akan berlaku kepada hidupan di lautan sekiranya sisa ini berterusan mencemari ekosistem yang menjadi sumber pendapatan masyarakat tempatan.
Dalam merungkai isu berkaitan pencemaran ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), universiti yang berfokuskan kepada ilmu kelautan menjadi platfom utama penyelidik menyumbang kepada penemuan di lautan yang masih tersisih jauh daripada pengetahuan masyarakat.
Dengan kemudahan serba lengkap di UMT seperti makmal, alatan untuk tujuan persampelan dan analisis, kapal penyelidikan UMT, RV Discovery serta dana perolehan disediakan kerajaan, penyelidikan ke atas perairan laut Malaysia secara menyeluruh dapat dibuat.
Justeru, hasil penemuan penyelidikan akan dikongsi kepada umum bagi mewujudkan kesedaran tentang realiti kehidupan sebenar hasil tindakan manusia sendiri.
Melalui kajian plastik mencemari perairan laut negara, kita dapat membuktikan tindakan manusia sama ada disengajakan ataupun tidak, telah memberi kesan kepada organisma marin.
Oleh itu, fokus utama kajian adalah plastik bersaiz mikro atau dikenali mikroplastik. Ia boleh mengancam organisme lautan termasuklah plankton, haiwan invertebrata seperti sotong, udang, kerang dan juga ikan.
Banyak kajian menunjukkan jika tinggi jumlah pencemaran di sesuatu kawasan itu, kemungkinan hasil mikroplastik yang tercemar dimakan oleh organisme marin itu juga adalah tinggi.

Dalam kajian kali ini, penyelidik memfokuskan kepada zooplankton iaitu organisme kecil pada aras trofik makanan yang paling rendah dan hidup terapung di dalam air. Memandangkan saiz mikroplastik ini kecil, zooplankton yang rutinnya adalah memakan fitoplankton (tumbuhan), secara tidak sengaja boleh memakan mikroplastik ini dalam kitaran hidupnya.
Ia seterusnya akan mendorong kepada lebih banyak mikroplastik tercemar dalam hidupan ini dan seterusnya disalurkan kepada pemangsa mereka seperti ikan.
Dua cara cemari lautan
Mikroplastik boleh mencemari lautan melalui dua cara.
Pertamanya, mikroplastik berbentuk butiran yang terdapat dalam kebanyakan penggunaan harian manusia yang dikomersialkan dalam industri kosmetik sebagai pencuci muka, skrub, dan ubat gigi.
Kedua, mikroplastik yang terhasil melalui tindakbalas semula jadi yang mana sampah-sampah plastik bersaiz besar seperti bekas makanan, minuman, jala ikan dan lampin pakai buang yang diurai dengan tindakbalas radiasi atau bakteria.
Hasil kajian menunjukkan mikroplastik ini mencemari lautan pada kadar yang tinggi di kawasan berdekatan pesisir lagun Tok Jembal dan muara Sungai Kuala Terengganu.
Sebabnya, kawasan berdekatan pantai Terengganu diakui terdedah dengan pelbagai aktiviti manusia seperti pembangunan, industri makanan, perikanan dan hasil buangan perumahan.
Kajian ini diperkukuhkan dengan kerjasama pakar bidang kimia di UMT, Prof. Madya Dr. Sabiqah Tuan Anuar yang membuktikan mikroplastik dikenalpasti daripada sumber-sumber aktiviti manusia daripada persekitaran.
Arus, angin dan aktiviti pasang surut air antara faktor yang mempengaruhi sebaran bahan cemar plastik ini di lautan.
Ia sekali gus membuktikan potensi mikroplastik ini disalurkan kepada pemangsa seperti ikan di merata kawasan juga adalah tinggi dan seterusnya kepada manusia. Sungguh, impak ketirisan ilmu dan kesedaran dalam memelihara sumber warisan negara ini andai tidak dijaga, maka tercemarlah ia.
Kajian makmal
Dalam menilai tinggi rendah pencemaran itu, mari kita memahami kemungkinan kesan yang akan terjadi kepada hidupan yang terdedah kepada pencemaran ini.
Sebagai kesinambungan penemuan di atas, kami menjalankan kajian di makmal menggunakan zooplankton kopepoda (Nitokra lacustris) sebagai model organisma bagi memahami kesan pendedahan yang singkat dan berterusan plastik sintetik sedia ada ke atas organisma marin.
Spesies ini dipilih kerana kitar hidupnya yang pendek dan sesuai dijadikan bahan kajian di makmal.
Melibatkan rakan penyelidik daripada bidang Bioteknologi Marin, Prof. Madya Dr. Kesaven Bhubalan, kajian dijalankan bagi membuktikan kesesuaian plastik terbiodegradasi sebagai pengganti plastik sedia ada.

Plastik yang berbentuk butiran mikro ini diakui keberkesanannya sebagai pencuci yang kebiasaannya digunakan dalam industri kosmetik.
Kadar biodegradasi plastik ini direkodkan hanya mengambil masa antara enam hingga lapan minggu selepas terdedah kepada persekitaran dengan tindakbalas bakteria.
Pendedahan organisma kepada plastik pada kadar yang kebiasaannya dijumpai di persekitaran lautan, menunjukkan plastik sintetik merencat tumbesaran dan pembiakan zooplankton.
Zooplankton juga dilihat lebih banyak yang mati.
Namun, sekiranya plastik mudah terbiodegradasi didedahkan kepada tumbuhan itu tiada kesan negatif dilihat pada tumbesaran dan pembiakannya sekali gus membuktikan ketersediaan plastik jenis ini wajar diguna pakai sebagai langkah alternatif di masa hadapan.
Bagaimanapun, andai ia satu jalan penyelesaian sekalipun, bukanlah ia tiket untuk terus membuang sampah dan mencemari lautan dengan sengaja.
Kerjasama semua peringkat adalah perlu yang menjurus kepada amalan kebersihan dan tabiat membuang sampah yang berdisiplin.
- Penulis adalah Pensyarah Biologi Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).










