KUBANG PASU: Seramai 250 pemain tenis remaja berentap dalam Kejohanan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Junior Tour 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini.
Kejohanan bertaraf kebangsaan anjuran Persatuan Tenis Kedah Darul Aman (PTKDA) dengan kerjasama kerajaan negeri itu melibatkan kategori bawah 12, bawah 14 dan bawah 16 tahun lelaki dan perempuan.
Pertandingan selama lima hari bermula kelmarin itu bertujuan memberi pendedahan kepada atlet remaja serta menyokong pembangunan pemain tenis negeri Kedah selain menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sukan sihat.
Malah, sasaran juga untuk mempromosikan Kedah sebagai pusat pembangunan tenis remaja serta merancakkan sektor pelancongan sukan di kawasan Sintok dan Changlun.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din, kali terakhir kejohanan itu diadakan di Kedah adalah pada 2006.
“20 tahun adalah satu tempoh yang terlalu lama dan kita mengharapkan lepas ini lebih kerap diadakan di Kedah yang bukan sekadar di peringkat nasional tetapi negeri, daerah atau mungkin juga di peringkat kampung yang kita tak tahu ada bakat baharu.
“Tanpa pertandingan khusus, bakat muda akan hilang begitu sahaja dan sebab itu kadang-kadang mereka hanya muncul di kawasan bandar, jadi kita harap ini permulaan baik untuk Kedah untuk kita bergerak lebih aktif di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden LTAM, Mirzan Tun Mahathir berkata, peserta akan memungut mata bagi menentukan ranking untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Jun dan Disember depan.
“Melalui pertandingan ini kita boleh nampak bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Malah, dalam Junior Davis Cup bawah 16 tahun di Kazakhstan baru-baru ini kita berjaya ke kelayakan akhir,” ujarnya.-UTUSAN










