Emas catat paras tertinggi hampir 8 hari, harga Brent susut

Emas catat paras tertinggi hampir 8 hari, harga Brent susut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Emas berada hampir kepada paras tertinggi lapan hari pada AS$4,742 seauns (RM613 segram) pada Rabu, manakala harga minyak jatuh sedikit sehingga AS$98 (RM394) setong di tengah-tengah pasaran optimis terhadap kemungkinan konflik di Asia Barat mereda. 

Emas jatuh AS$4,376 seauns (RM566 segram) pada 26 Mac lalu setelah naik ke paras tertinggi AS$5,500 seauns (RM segram) pada 29 Januari lalu.

Sehingga 4.20 petang semalam, Brent susut AS$101 (RM406) setong berbanding paras tertinggi pada Selasa pada AS$119 (RM478).

The Wall Street Journal melaporkan pada hari Isnin bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu para pembantunya bahawa beliau sanggup menamatkan kempen ketenteraan terhadap Iran walaupun Selat Hormuz sebahagian besarnya masih ditutup.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, trend jangka panjang harga emas dijangka kekal menaik, walaupun pergerakan jangka pendek menunjukkan turun naik yang ketara.

“Harga logam berharga ini mencapai paras tertinggi sejarah pada awal 2026 sekitar AS$5,500 seauns (RM712 segram) sebelum mengalami pembetulan pasaran.

“Penurunan harga sekitar 10 hingga 20 peratus ketika ini berkemungkinan dipengaruhi oleh beberapa faktor

“Antaranya pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), kenaikan berterusan harga minyak mentah serta keadaan pasaran yang tidak lagi melihat emas sebagai aset selamat atau ‘safe haven’ dalam tempoh semasa.

“Namun, penyusutan ini masih dianggap sebagai fasa pembetulan biasa susulan kenaikan ketara sejak 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, faktor lain yang terus mempengaruhi pergerakan emas termasuk ketidaktentuan ekonomi global, dasar kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, pembelian oleh bank pusat serta perubahan sentimen pelabur.

Katanya, majoriti bank pelaburan masih mengekalkan unjuran harga emas antara AS$4,500 seauns (RM18,035) hingga AS$5,400 seauns (RM21,642) bagi 2026, dengan sebahagian penganalisis melihat potensi kenaikan dalam jangka panjang.

“Secara keseluruhan, penurunan semasa tidak mencerminkan perubahan trend menurun, sebaliknya hanya pelarasan sementara dalam pasaran,” ujarnya.

Mengulas pasaran minyak mentah, beliau berkata, pasaran itu berdepan tekanan bekalan berlebihansepanjang 2026, dengan ramalan harga purata antara AS$55 (RM220.43) hingga AS$70 (RM280.55) setiap tong.

“Namun, harga boleh melonjak sementara akibat konflik geopolitik, seperti ketegangan di Asia Barat, yang boleh menolak harga melebihi AS$80 (RM320. 63) setong. 

“Justeru, harga minyak dijangka menyusut secara berperingkat tahun ini dengan purata sekitar AS$60 (RM240.47) setiap tong, manakala Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) dan beberapa bank meramalkan penurunan ke paras AS$50 (RM200.39) hingga AS$60 setiap tong.

“Lonjakan harga sementara kini dipacu faktor geopolitik dan gangguan laluan minyak global, tetapi asas permintaan dan bekalan masih menunjukkan tekanan jangka panjang menurun atau mendatar,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga minyak disebabkan perang di Iran yang memberi kesan kepada laluan perdagangan sektor minyak dan gas di Selat Hormuz.

“Selain itu, kerosakan teruk akibat perang terhadap kemudahan dan infrastruktur industri minyak dan gas di kawasan Teluk dijangka mengurangkan bekalan bahan api. 

“Harga pula menurun kerana telah mencapai paras tertinggi sejarah sekitar AS$5,500 setong pada awal tahun ini. Justeru, fasa pembetulan berlaku apabila pedagang merealisasikan keuntungan mereka. 

“Bagaimanapun, nilai emas masih tinggi dan statusnya sebagai pelaburan selamat tidak terjejas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×