PETALING JAYA: Komitmen Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap usaha untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober ini dianggap sebagai rasional.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri berhak menetapkan tarikh persidangan atas alasan yang dirasakannya wajar.
Beliau bagaimanapun tidak menganggap jangkaan tarikh itu terlalu lewat sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis Covid-19.
“Perdana Menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan, malah beliau telah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh tersebut. Antaranya kerana angka Covid-19 dan sebagainya, jadi bagi pihak Parlimen, kita menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti,” katanya.
Beliau mengulas perutusan khas Perdana Menteri ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Muhyiddin menegaskan, beliau kekal dengan pendiriannya bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, setelah kes Covid-19 terkawal dan hampir mencapai imuniti berkelompok.
“Saya akan terus mendukung prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE











