PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,700 mata hingga 1,730 mata untuk satu hingga dua minggu ini, sebelum hala tuju yang lebih jelas dapat dikenal pasti.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, memandangkan kitaran ekonomi global menunjukkan tanda-tanda perlahan, pasaran saham dijangka berdepan tekanan dalam jangka sederhana.
“Prestasi Bursa Malaysia pada minggu lalu menunjukkan peningkatan ketara yang seolah-olah memberi gambaran bahawa krisis ini memberi kesan positif kepada pasaran.
“Namun, keadaan ini boleh mengelirukan kerana lazimnya krisis global akan memberi tekanan kepada pasaran saham.
“Kenaikan yang berlaku ketika ini berkemungkinan bersifat sementara, didorong oleh aktiviti pengambilan untung oleh pelabur yang memanipulasi pergerakan pasaran dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd. Mohd. Sedek Jantan berkata, FBMKLCI dijangka kekal tidak menentu minggu ini berikutan ketegangan Amerika Syarikat (AS) – Iran yang masih belum selesai dan terus mempengaruhi arah pasaran global.
“Walaupun terdapat tanda-tanda penyusutan ketegangan secara sementara, ketiadaan penyelesaian diplomatik yang kukuh akan menyebabkan pelabur terus memberi tumpuan kepada perkembangan geopolitik.
“Harga minyak pula dijangka kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi pasaran ekuiti, khususnya dari segi jangkaan inflasi, keadaan kecairan dan pendapatan sektor.
“Walaupun lonjakan berterusan melebihi AS$120 (RM481.56) setong dilihat tidak mungkin berlaku, harga minyak mentah Brent dijangka kekal melebihi AS$100 (RM401.30) setong, sekali gus mengekalkan persekitaran dagangan yang berhati-hati dan reaktif,” katanya.
Menurutnya, dari sudut makroekonomi, tumpuan akan terarah kepada pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan pada Rabu yang dijangka memberi gambaran awal sentimen perniagaan dalam keadaan semasa.
“Bacaan Mac 2026 dijangka mencerminkan kesan segera konflik AS dan Israel–Iran dengan gangguan sejak akhir Februari mula memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos input dan aliran pesanan.
“PMI dijangka kekal di bawah paras 50, menandakan penguncupan berterusan dalam aktiviti pembuatan,” ujarnya.
Mohd. Sedek berkata, dari sudut teknikal pula Indeks Kekuatan Relatif (RSI-14) FBM KLCI berada pada paras 48.84 setakat Jumaat, menunjukkan momentum neutral.
“Paras pertengahan ini menandakan pasaran tidak berada dalam keadaan terlebih beli atau terlebih jual, sekali gus mencerminkan kestabilan asas walaupun berdepan volatiliti tinggi serta membuka ruang kepada lantunan taktikal atau penyatuan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, sektor defensif dijangka terus menarik minat pelabur, disokong oleh ketahanan pendapatan serta pendedahan kepada permintaan domestik.
“Dalam konteks ini, FBMK LCI dijangka kekal disokong melebihi paras psikologi 1,700 mata dengan penyertaan berterusan pelabur asing dan aliran institusi membantu mengehadkan risiko penurunan,” jelasnya. – UTUSAN









