Aidilfitri satukan keluarga mangsa tragedi nahas pelajar UPSI

Aidilfitri satukan keluarga mangsa tragedi nahas pelajar UPSI

SEBAHAGIAN ahli keluarga mangsa tragedi nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu bergambar bersama di Kampung Bukit Cina, Hulu Besut, Besut, Terengganu hari ini. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini membawa makna mendalam buat 15 keluarga mangsa kemalangan maut melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Jun tahun lalu apabila mereka bertemu dalam suasana penuh emosi.

Bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif iaitu Rosdi Yunus, 57, berkata, majlis sederhana yang diadakan di Kampung Bukit Cina, Hulu Besut itu menjadi ruang buat setiap keluarga mangsa berkongsi rasa rindu dan kehilangan insan tersayang yang terkorban dalam tragedi ngeri itu.

“Walaupun sebahagian besar keluarga mangsa tragedi tersebut menetap di Besut namun tidak semuanya mengenali antara satu sama lain

“Hari ini kami bersama-sama berkumpul, berkenalan kerana daripada tragedi tersebut kami kini menjadi satu keluarga yang besar dan kesemuanya kehilangan insan tersayang dalam insiden berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya program sambutan raya itu berlangsung dengan kerjasama pihak Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri serta pejabat Dewan Undangan (DUN) Hulu Besut.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd. Husaimi Hussin.

Sementara itu, Maliaman berkata, satu pertemuan lebih besar membabitkan semua waris pelajar UPSI yang terbabit dengan tragedi itu akan diadakan pada 9 Jun depan.

Menurut beliau tarikh itu sempena setahun memperingati nahas kemalangan maut hingga mengorbankan 15 pelajar itu.

“Lokasi majlis akan dilaksanakan di salah sebuah rumah waris keluarga terbabit dan kami akan minta surat pelepasan daripada UPSI untuk membenarkan pelajar yang cedera sebelum ini dibenarkan pulang pada tarikh berkenaan.

“Manakala dua lagi mangsa kemalangan iaitu Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 22, dan Ain Najwa Mohd Ilias, 24, telah dijadikan anak angkat Kerajaan Terengganu dan terus menerima bantuan tunai RM500 setiap bulan sehingga tamat pengajian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×