Lebih 1,000 penduduk minum air keruh ekoran aktiviti pembersihan jalan balak - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 penduduk minum air keruh ekoran aktiviti pembersihan jalan balak

keadaan air sungai bertukar menjadi keruh akibat hakisan tanah dan selut selepas hujan. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di Kuala Nerang di sini mendakwa terpaksa menggunakan air keruh bagi keperluan harian mereka selepas kolam tadahan air bukit di Taman Eko Rimba (TER) Puncak Janing di sini tercemar sejak sebulan lalu.

Penduduk di tiga kampung terbabit iaitu Kampung Pasir Putih, Kampung Tengah dan Kampung Baru mendakwa, pencemaran air tersebut berlaku akibat aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama di kawasan Hutan Simpan Lipur Bukit Perangin.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan balak lama itu juga terletak berhampiran aliran anak sungai yang mengalir ke kolam tadahan air berkenaan.

Imam Masjid Kampung Baru, Ahmad Abdullah, 70, berkata, penduduk di kampung berkenaan sebelum ini menerima bekalan air bersih dari kolam tadahan di bukit tersebut untuk kegunaan harian seperti mandi, membasuh pakaian dan memasak.

Katanya, kolam tadahan air tersebut yang dibina oleh penduduk sejak tahun 1978 tidak pernah tercemar dan diselenggara dengan baik oleh penduduk.

“Bagaimanapun, penduduk kampung yang bergantung sepenuhnya bekalan air bukit untuk kegunaan harian terkejut apabila menerima bekalan air keruh sejak sebulan lalu.

“Mereka tidak menggunakan bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana masalah tekanan air yang rendah di kawasan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Seorang penduduk, Mohammad Nazrin Zainon, 41, pula berkata, penduduk meminta aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama itu dihentikan segera untuk mengelakkan pencemaran di kolam tadahan air itu bertambah buruk.

“Malah, saya tidak dapat gambarkan nasib penduduk yang terpaksa menggunakan air lebih keruh dan berselut sekiranya berlaku pembalakan di kawasan itu selepas ini,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (​JPKK) Jabi, Ayob Md. Saman, 63, berkata, dia yang mewakili penduduk di tiga kampung tersebut telah menghantar surat bantahan aktiviti berkaitan dengan pembalakan di kawasan hutan berkenaan kepada pemimpin-pemimpin di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemimpin tersebut ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Munir Zakaria serta Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md. Shuhaime Abdul Rahman.

“Bantahan tersebut dibuat untuk menjamin sumber air penduduk berdekatan Puncak Janing itu tidak terancam disebabkan aktiviti tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×