Fiuu catat jumlah transaksi RM54 bilion pada 2025

Fiuu catat jumlah transaksi RM54 bilion pada 2025

ENG SHENG GUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform teknologi kewangan (fintech) Asia Tenggara, Fiuu mencatatkan Jumlah Pembayaran Keseluruhan (TPV) sebanyak AS$13 bilion (RM54 bilion) sepanjang tahun 2025.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 32.65 peratus berbanding tahun 2024, sekali gus membuktikan penerimaan meluas pembayaran digital dalam kalangan perniagaan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fiuu, Eng Sheng Guan berkata, infrastruktur pembayaran yang stabil dan mudah disepadukan menjadi tunjang utama dalam menyokong ekonomi digital ASEAN yang sedang pesat membangun.

“Landskap pembayaran digital Asia Tenggara terus berevolusi dengan pantas. Fokus kami adalah membina penyelesaian yang membolehkan transaksi berlaku dengan lancar merentas saluran dalam talian, mudah alih mahupun fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Sepanjang tahun lalu, Fiuu berjaya memproses lebih 960 juta transaksi dan mengukuhkan ekosistemnya melalui pelbagai kolaborasi strategik.

Di Malaysia, Fiuu menjadi pemeroleh pembayaran (payment acquirer) pertama yang membolehkan penggunaan Samsung Pay Online, selain memperluas penerimaan dompet digital di seluruh negara melalui kerjasama dengan PayNet, Mastercard, Pos Malaysia dan Affin Bank.

Melangkah ke tahun 2026, Fiuu merancang untuk memperkukuh keupayaan penerimaan pembayaran melalui rangkaian global termasuk Visa, Mastercard, JCB dan UnionPay di pasaran utama seperti Malaysia, Singapura dan Filipina.

Antara tumpuan utama syarikat adalah memacu penggunaan Mastercard Click-to-Pay bagi memberikan pengalaman daftar keluar yang lebih selamat serta memperluas penyelesaian ansuran Visa dari Malaysia ke Singapura bagi menyokong pedagang barangan bernilai tinggi.

Selain itu, syarikat turut mempertingkat keupayaan pemerolehan terus untuk JCB dan UnionPay International (UPI) serta meluaskan penerimaan WeChat Pay bagi mengukuhkan koridor pengguna rentas sempadan. 

Dalam masa yang sama, Fiuu terus menerajui inovasi domestik dengan menjadi pemeroleh pertama yang menyokong skim debit tempatan MyDebit oleh PayNet bagi persekitaran kad fizikal dan dalam talian di Malaysia, selain meningkatkan aspek keselamatan melalui pembayaran bertoken dan alat pengesanan penipuan yang lebih canggih.

Tambah beliau, Fiuu juga sedang meningkatkan keupayaan platformnya melalui pembayaran bertoken dan alat pengesanan penipuan yang lebih canggih bagi meningkatkan keselamatan transaksi.

“Peranan kami adalah untuk memastikan perniagaan di seluruh rantau ini mempunyai penyelesaian pembayaran yang diperlukan untuk menyertai transformasi digital ini dengan penuh yakin,” tambahnya.

Fiuu kini menyokong lebih 110 kaedah pembayaran di seluruh Asia Tenggara, membolehkan perniagaan menerima pembayaran tempatan dan rentas sempadan melalui satu platform tunggal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×