LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal dalam aksi final Piala Liga di Wembley sebagai detik istimewa selepas pasukannya mengharungi tempoh sukar yang hampir menjejaskan musim mereka.
Kejayaan itu hadir tepat pada masanya buat City yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu, termasuk tersingkir daripada Liga Juara-Juara serta keciciran mata penting dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pada perlawanan tersebut, Nico O’Reilly muncul wira apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, termasuk memanfaatkan kesilapan penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga untuk membuka tirai jaringan.
Gol kedua O’Reilly beberapa minit kemudian memastikan trofi berpihak kepada skuad kendalian Guardiola sekali gus menghadiahkan kejuaraan ke-19 sepanjang tempoh dia mengendalikan kelab itu.
Menurut Guardiola, kemenangan tersebut cukup bermakna memandangkan Arsenal merupakan antara pasukan terbaik di Eropah ketika ini.
“Kami mencatat kemenangan yang luar biasa. Untuk menang menentang pasukan itu menjadikannya istimewa. Ia sangat bermakna. Sentiasa sukar untuk memenangi trofi, terutamanya kerana bersama Bayern Munich dan Barcelona, Arsenal adalah pasukan terbaik di Eropah.
“Kami tidak dapat menang menentang West Ham atau Nottingham Forest. Kami tewas kepada Real Madrid di tempat sendiri dan di tempat lawan. Tiada siapa yang mempertaruhkan satu pound pun untuk kami menang.
“Ia istimewa kerana kami melalui dua minggu yang sukar. Saya sangat gembira kerana Mikel (Arteta) telah membentuk pasukan yang hampir tidak dapat dikalahkan. Lima Piala Liga dalam 10 tahun bukanlah sesuatu yang buruk,” katanya.
City sebelum ini menerima tamparan hebat apabila tewas kepada Real Madrid dalam saingan Eropah, selain gagal meraih kemenangan ke atas Nottingham Forest dan West Ham dalam liga.
Situasi itu menyaksikan mereka ketinggalan jauh dalam perebutan kejuaraan domestik, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Guardiola dan barisan pemainnya. – AFP/UTUSAN











