Keselamatan negara jadi keutamaan ketika tekanan ekonomi

Keselamatan negara jadi keutamaan ketika tekanan ekonomi

ANWAR Ibrahim (kiri) bersalaman dengan jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kestabilan dan keselamatan negara perlu menjadi keutamaan ketika Malaysia berdepan tekanan ekonomi serta ketidaktentuan akibat konflik antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang perselisihan kecil dalam negara perlu ditangani segera supaya tidak berkembang menjadi krisis yang boleh menggugat keamanan.

“Sebab kita belajar, kalau mula bergaduh saja, hancur negara, ekonomi habis, orang ada kerja pun hilang kerja, yang hidup sihat pun terkorban.

“Jadi, kita jangan tunggu sampai keadaan itu, kerana kita bernasib baik masih lagi bertahan,” katanya ketika berucap pada Program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini hari ini.

Tambah Anwar, sebarang isu melibatkan sensitiviti agama atau kaum perlu diselesaikan mengikut undang-undang dan rundingan, bukan dengan emosi mahupun provokasi.

Anwar menyeru rakyat terus memperkukuh semangat kebersamaan, mengelakkan perpecahan serta mengekalkan keharmonian demi masa depan negara.

“Jaga keamanan negara kerana kita ada pelbagai kaum dan agama. Mana ada negara di dunia yang ada pelbagai kaum, pelbagai agama, boleh aman dan tenang seperti (Malaysia) ini.

“Panas sikit, tak puas hati sikit, merajuk sikit, itu biasalah tak apa boleh tahan lagi tetapi jangan gaduh,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri memuji sikap toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, yang menjadi kekuatan utama Malaysia.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa memantau tahap keselamatan negara melalui mesyuarat berkala termasuk bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain menggerakkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan keadaan kekal terkawal.

Beliau berkata, kerajaan juga mengarahkan pemantauan rapi pada semua peringkat bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dalam menghadapi cabaran semasa.

“Negara lain sedang bergolak, ekonomi mereka jatuh, nilai mata wang merosot. Kita masih bertahan kerana kestabilan dan kita urus dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×