PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Anutin Charnvirakul yang diberi mandat baharu untuk terus memimpin Thailand sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, sebagai jiran dan rakan dalam ASEAN, kejayaan Malaysia dan Thailand saling berkait, umpama dua sungai yang lahir dari mata air yang sama.
“Saya menantikan detik untuk terus mempereratkan hubungan kerja yang erat dengan Perdana Menteri Anutin serta memperkukuh kerjasama Malaysia-Thailand terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kerjasama sempadan dan kestabilan serantau,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anutin, 58, yang juga ketua parti Bhumjaithai secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32, selepas menerima perkenan diraja, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepemimpinan politik negara itu.-UTUSAN










