JOHOR BAHRU : Para pengguna di beberapa kawasan di daerah ini diminta tidak panik susulan terdapat aduan mengenai masalah gangguan bekalan diesel sejak dua hari lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, gangguan bekalan diesel itu hanya membabitkan sebuah syarikat pembekal bahan api itu dan ia hanya bersifat sementara.
Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh syarikat gas dan minyak itu mengenai gangguan berlaku susulan kelewatan ketibaan kapal penghantaran sebelum ini.
“Pihak syarikat berkenaan telah memaklumkan kepada KPDN Johor mengenai isu kelewatan kapal yang membawa bekalan minyak tersebut.
“Bekalan bahan api kini sedang dalam proses pengagihan ke semua stesen minyak terlibat dan dijangka akan pulih secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan. Kapal sudah sampai dan proses pengagihan sedang berjalan. Bekalan akan kembali seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau menjelaskan, kekurangan sementara di beberapa stesen sebelum ini turut dipengaruhi ‘kesan domino’ apabila pengguna berpindah ke stesen lain selepas satu stesen kehabisan bekalan, sekali gus menyebabkan bekalan di lokasi lain turut cepat susut.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat pembelian secara berlebihan kerana bekalan bahan api kini dalam keadaan stabil dan mencukupi.
“KPDN dan agensi berkaitan juga memaklumkan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan di semua stesen berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor, Chua Pei Yun, berkata hasil semakan dengan syarikat petroleum berkaitan mendapati banyak kapal kargo dan kapal tangki tiba serentak di pelabuhan tempatan selepas mengalami kelewatan.
Katanya, situasi ini menyebabkan kapal tangki syarikat tersebut terpaksa beratur panjang untuk berlabuh dan memunggah muatan.
“Kebanyakan pengusaha lori memilih satu syarikat petroleum tertentu kerana rangkaian stesen minyaknya yang luas, sekali gus menyebabkan mereka terkesan apabila bekalan diesel di stesen syarikat itu terganggu,” katanya. – UTUSAN










