PASIR GUDANG : Alah bisa, tegal biasa, itulah yang dialami seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang sanggup berpanasan untuk membantu bapanya menjual lemang di Taman Kota Masai, di sini.
Menurut Nabil Ammar Muhammad Nasrul, dia mula membantu bapanya, Muhammad Nasrul Nordin, 29, menjual lemang sejak berusia empat tahun.
Menurut murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, di sini, dia merasa puas dapat membantu bapanya walaupun penat berpuasa.
Anak sulung dari tiga beradik ini bukan sahaja petah melayan pelanggan bahkan turut membantu dari proses penyediaan bahan hingga membakar lemang.
“Pada awal-awal dulu, saya hanya bantu ayah susun-susun lemang untuk dibakar sahaja.
“Kini bila sudah lama-kelamaan, saya sudah biasa membantu dari awal proses lemang dihasilkan hingga melayan pelanggan yang datang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Muhammad Nasrul berkata, anak sulungnya itu hanya membantu dia berniaga pada hujung minggu dan selepas menyiapkan kerja sekolah.
Menurutnya, Nabil Ammar yang kerap mengikut berniaga menunjukkan minat untuk turut serta berniaga lemang sejak kecil.
“Setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia rajin mengikut ke kedai dan tolong saya berniaga lemang. Sebelum ini, dia pun ada tolong saya meniaga durian ketika musim raja buah itu.
“Saya mempunyai enam orang pekerja yang membantu saya berniaga lemang, namun dia tetap nak bantu saya berniaga,” katanya.
Menurutnya, gerai jualan mampu menjual kira-kira 10,000 batang lemang sepanjang Ramadan hingga Hari Raya Aidiladha dengan setiap satunya dijual antara RM16 hingga RM25. – UTUSAN










