PM umum pelan keluar krisis - Utusan Malaysia

PM umum pelan keluar krisis

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan Negara yang menggariskan empat fasa adalah langkah strategik peralihan kerajaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 berpaksikan indikator tiga ambang utama.

Perdana Menteri berkata, pelan dirangka dengan pertimbangan sewajarnya bagi melindungi nyawa dan kelangsungan hidup rakyat serta mengambil kira ancaman virus dalam komuniti serta kadar pemberian vaksin.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, peralihan setiap fasa akan melibatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial, kebenaran merentas negeri dan pembukaan sidang Parlimen yang dijangka sekitar September dan Oktober ini dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap fasa pelan pemulihan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, kedua keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan indikator ketiganya ialah tahap populasi dilindungi berdasarkan peratusan telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” kata beliau dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara disiar secara langsung semalam.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pelan secara berperingkat itu bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sekarang iaitu di dalam situasi bilangan kes Covid-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi masih rendah.

Menurut beliau, kerajaan akan menimbang peralihan kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Fasa kedua kesinambungan daripada fasa pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal ketat dan ketika ini aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis, pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai ditutup,” kata Muhyiddin.

Bagi fasa ketiga, beliau berkata, negara beralih kepada fasa itu jika nilai ambang purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara telah menerima dua dos vaksin.

“Semua sektor ekonomi ketika ini dibenar beroperasi kecuali aktiviti tersenarai dalam senarai negatif iaitu aktiviti berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian dan sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua serta aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” ujarnya.

Muhyiddin memberitahu, memasuki fasa keempat apabila purata kes harian menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), peralihan ini dijangka boleh dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober ini.

“Fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara ini di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP ketat,” jelas beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami kegusaran dan kesan pandemik kepada rakyat sama ada dari segi fizikal mahupun emosi akibat kehilangan orang tersayang, kekurangan punca pendapatan selain diselubungi keresahan berpanjangan.

“Saya sering menerima permintaan supaya acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak-saudara dan ahli keluarga tersayang.

“Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru rakyat terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini bersama-sama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang cekal dan berhati kental.

“Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya dapat bersama-sama kita keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×