PAPAR: Kelupis yang sinonim dengan penduduk di sekitar pantai Barat Sabah khususnya di kalangan etnik Kedayan dan Melayu Brunei kekal menjadi pilihan sajian utama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Walaupun kelupis boleh didapati pada hari biasa namun juadah tradisi itu akan lebih banyak ditemui ketika musim perayaan sekaligus menjadikan permintaan orang ramai yang mencari kelupis menjadi lebih tinggi.
Permintaan tinggi terhadap salah satu juadah tradisi Sabah itu menjadikan pengusaha kelupis tempatan, Noor Haniseh Bakar, 67, bekas guru tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan dari sekitar daerah Papar sehingga Kimanis.
Bagi kelupis yang siap dimasak biasanya ditempah sehari atau dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri kerana makanan itu yang siap dimasak biasanya hanya bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari sahaja.
Mengulas lanjut, beliau yang merupakan anak jati Padawan itu berkata setiap tahun, beliau akan menyiapkan lebih daripada 1,000 biji kelupis sejuk beku dimana tempahan diterima apabila Hari Raya Aidilfitri semakin dekat.
Susulan itu, ia memerlukan pesara guru sekolah rendah itu bekerja hampir setiap hari dari selepas waktu berbuka puasa sehingga lewat malam.
“Biasanya saya akan menyiapkan tempahan kelupis sendiri. Selepas berbuka puasa, saya akan masak dan terus membungkusnya.
“Seorang saja buat, lepas sungkai saya terus bungkus sampai malam. Cucu ada bantu sikit-sikit seperti bersihkan daun ngirik(daun yang digunakan untuk membungkus kelupis) dan potong tali untuk mengikat bungkusan kelupis,” katanya.
Noor Haniseh berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Bambangan Papar, baru-baru ini. Menurutnya, kos bahan mentah yang meningkat menyebabkan harga jualan turut dinaikkan, namun beliau masih berusaha mengekalkan harga berpatutan dengan mendapatkan bekalan bahan mentah daripada rakan-rakan peniaga.
“Walaupun rata-rata harga kelupis sekarang mencecah RM1 sebiji, namun saya masih menjualnya 60 sen sebiji.
“Anggaran tiga kilogram beras pulut bersama tiga biji kelapa boleh hasilkan kira-kira 140 biji kelupis. Setiap tahun, saya mendapat anggaran untung kasar sekitar RM600 bagi tempahan kelupis semasa bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN










