KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long yang didakwa terbabit dengan ‘mafia korporat’ kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan individu berkenaan sedang dijalankan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Setakat ini kami masih menjalankan siasatan dan kami dapati ada beberapa perkara yang perlu diambil tindakan berdasarkan Undang-Undang AMLA dan semua sedia maklum bahawa dia berada di luar negara ketika ini.
“Jadi usaha sedang giat dijalankan untuk kita mendapatkan kerjasama dari banyak pihak yang berkaitan bagi siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik tokoh korporat, Victor Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.
Mohd. Khalid dilaporkan berkata, serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu dilaksanakan bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Terdahulu media melaporkan mengenai serbuan dijalankan terhadap premis milik Victor Chin.
Laporan menyatakan, antara barangan berharga dirampas ketika serbuan adalah dua buah kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia dan mata wang asing, selain dokumen berkaitan siasatan.
Victor Chin dan isterinya tiada di rumah ketika serbuan dibuat namun tiga pembantunya berada di lokasi itu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataan memberitahu Kabinet mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk PDRM, SC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan terperinci berhubung isu manipulasi korporat. – UTUSAN










