Sabotaj negara: Polis akan rakam keterangan 14 lagi individu

Sabotaj negara: Polis akan rakam keterangan 14 lagi individu

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 14 lagi individu akan dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya sebelum ini sudah merakam keterangan seramai 14 individu bagi membantu siasatan kes tersebut. 

“Kami mempunyai senarai nama yang kami mungkin akan panggil iaitu seramai 14 lagi individu. 

“Daripada situ akan melengkapkan siasatan dan mengemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC),” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. 

Ditanya sama ada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid antara yang akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu menyentuh tentang nama-nama individu dan siasatan masih lagi berjalan,” katanya. 

Pada 12 Mac lalu, peguam kepada Na’imah iaitu Nizamuddin Hamid antara yang dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan. 

Media sebelum ini melaporkan, Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Seorang lagi peguam yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Amir Zharif Abdullah.

Sebelum ini, Nizamuddin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembohongan terbesar.

Polis sebelum ini mengesahkan sudah merakam 14 saksi termasuk usaha mengesan saksi-saksi penting yang dipercayai telah keluar dari Malaysia berhubung siasatan dakwaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan kes itu dilaksanakan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang merujuk kepada aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya, melalui semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terdapat saksi-saksi penting telah membuat pergerakan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara Januari hingga Februari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN