Rakyat AS bakal hadapi lonjakan harga petrol - Utusan Malaysia

Rakyat AS bakal hadapi lonjakan harga petrol

RAKYAT AS akan berdepan dengan kenaikan harga petrol beberapa minggu lagi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS), Chris Wright, meramalkan bahawa rakyat negara itu akan terus terbeban dengan kenaikan harga bahan api di stesen minyak untuk beberapa minggu akan datang.

Bgaimanapun, beliau menaruh harapan agar harga tersebut akan turun di bawah paras AS$3 (RM11.79) untuk 3.8 liter menjelang musim panas ini.

“Ini adalah gangguan dalam aliran tenaga jangka pendek. Rakyat AS sedang merasai kesannya sekarang dan akan terus merasainya untuk beberapa minggu lagi.

“Namun, kita akan berjaya menghapuskan risiko terbesar terhadap bekalan tenaga global,” kata Wright kepada program Meet the Press terbitan NBC pada Ahad.

Menurut data terkini daripada Persatuan Kenderaan Amerika (AAA), purata harga petrol nasional kini berada pada paras AS$3.69 (RM14.51) bagi setiap 3.8 liter. Sebagai perbandingan, purata nasional AAA berada di bawah paras AS$3 (RM11.79) bagi setiap 3.8 liter sebelum tercetusnya peperangan di Iran.

Wright turut mengimbas kembali detik harga petrol yang pernah mencecah hampir AS$5 (RM19.66) bagi setiap 3.8 liter semasa pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden. Namun, beliau optimis situasi tersebut tidak akan berulang kali ini.

“Terdapat peluang yang sangat baik untuk perkara itu (harga turun) berlaku,” katanya ketika ditanya sama ada harga petrol boleh berkurangan menjelang musim panas. 

“Tiada jaminan dalam peperangan dan tempoh masanya masih belum jelas sepenuhnya. Tetapi, saya fikir itu sememangnya matlamat pentadbiran ini dan sangat mungkin untuk dicapai,” tambahnya.

Harga minyak mentah dilaporkan berada di sekitar paras AS$100 (RM393.28) setong dalam pasaran niaga hadapan sejak Presiden AS, Donald Trump mengumumkan serangan besar-besaran ke atas Pulau Kharg, hab minyak kritikal Iran yang mengendalikan kira-kira 90 peratus eksport minyak mentah negara itu.

“Konflik ini akan berakhir dalam beberapa minggu akan datang, dan kita akan melihat pemulihan dalam bekalan serta penurunan harga selepas itu,” jelas Wright kepada ABC News.

Beliau menambah, pihak pentadbiran sedar sepenuhnya mengenai gangguan jangka pendek yang akan menyebabkan sedikit kenaikan harga kepada rakyat. 

Namun, beliau menyatakan bahawa harga ketika ini masih jauh lebih rendah berbanding semasa era Biden. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×