Oleh Hanifah Nazira binti Mohamed Hanafiah
“Papa dan mama pendorong utama buat diri saya. Pengorbanan mereka membuatkan saya berasa tidak layak untuk mengecewakan mereka,”.
Itu reaksi Nur Yasmin Maisarah Ahmad Mahyuddin,18 selepas memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Pelajar Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di bawah Program Permata Pintar Negara ini berkata, kecemerlangan dalam bidang akademi dicetuskan kedua ibu bapanya yang sejak kecil lagi menekankan mengenai kepentingan menuntut ilmu.
“Sejak kecil lagi, saya diasuh mengenai kepentingan menuntut ilmu dunia dan akhir. Ilmu ini perlu seiringan untuk memahami tujuan utama kita diciptakan oleh Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kepintaran anak sulung dari tiga beradik ini diwarisi ibu dan ayah yang berkhidmat sebagai doktor di Hospital Kemaman, Terengganu.
Ayahnya, Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed adalah Pakar Perunding & Ketua Jabatan Ortopedik manakala ibunya Dr. Nazatul Shahnaz Mohd Nazri ialah Doktor Pakar Bius Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi.
Pelajar aliran sains tulen ini turut mengambil tambahan bahasa antarabangsa, penyelidikan, hafazan Al quran dan tadabbur.
Nur Yasmin adalah pelajar kumpulan pengambilan pertama bagi pelajar tingkatan 4 kolej berkenaan.
Menariknya, subjek SPM diajar oleh barisan pensyarah dengan kelayakan doktor falsafah atau PHD mengikut kepakaran khusus dalam bidang masing-masing.
PKP & BELAJAR
Mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sejak Mac tahun lalu, Nur Yasmin tidak menafikan berdepan gangguan emosi, lantaran jadual belajar tidak menentu.
“Ada di antara kelas terpaksa dibatalkan pada saat akhir. Belum lagi kelas terpaksa diadakan pada waktu malam. Tapi kami perlu akur dengan suasana norma baharu. Namun ianya tidak mematah semangat untuk berusaha dengan gigih,” katanya.
Menyifatkan diri sebagai ulat buku kerana sering bertemankan buku, Nur Yasmin turut berusaha untuk menghafaz 30 juzuk al Quran.
“Bagi menghilangkan tekanan, saya suka menyanyi seorang diri dengan note tinggi. Paling tidak pun saya akan melakukan kerja pengubahsuaian video bermanfaat yang dihasilkan untuk dimuat naikkan di YouTube – Yasmin Mahyuddin,” katanya.
INFLUENCER MUSLIMAH
Yasmin yang bercita-cita menjadi doktor pakar, menjadikan ayahnya sebagai idola.
“Ayah ada dua Master iaitu kedoktoran Ortopedik dan pengurusan perniagaan. Saya dahagakan ilmu seperti papa. Kejayaannya menjadi inspirasi. Walaupun mereka sibuk bekerja, namun mereka sentiasa mencari masa berkualiti untuk kami,” katanya.
Sungguhpun ingin jadi doktor pakar, Yasmin turut menyimpan hasrat menjadi influencer solehah.
“Saya ingin memiliki ramai followers agar dapat mengajak orang ramai menjadi lebih baik menerusi pembabitan dalam aktiviti dan program kemasyarakatan termasuk kerja sukarelawan,” katanya.
USAHA, TAWAKAL DAN DOA
Sentiasa berusaha, bertawakal dan berdoa kepada Allah antara nasihat dititipkan Nur Yasmin kepada semua orang khususnya umat Islam.
“Kita semua adalah Hamba Allah jadi teruskan berusaha, bertawakal dan berdoa untuk memohon pertolongan daripadaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah terlalu dekat buat HambaNya yang sentiasa merendah diri.
“Usah terlalu berharap dengan apa yang kita inginkan atau impikan. Kita berjaya di atas usaha kita sendiri. Tetapi jangan lupa semuanya tidak akan berlaku tanpa daripada izin Allah SWT,” pesan Yasmin menutup bual bicara.










