Petronas temui hidrokarbon pertama di Blok Ketapang Utara Indonesia - Utusan Malaysia

Petronas temui hidrokarbon pertama di Blok Ketapang Utara Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui anak syarikatnya, Petronas North Ketapang Sdn. Bhd., membuat penemuan hidrokarbon pertama di telaga penerokaan Barokah-1 yang terletak di dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Ketapang Utara, luar pesisir Jawa Timur, Indonesia.

Petronas merupakan pengendali PSC Ketapang Utara dengan 51 peratus kepentingan penyertaan, manakala Earthon North Ketapang Pte. Ltd. memegang 34 peratus dan PT. Pertamina Hulu Energi North Ketapang memegang 15 peratus kepentingan penyertaan.

Telaga Barokah-1 telah dimulakan pada 30 November 2025 dan berjaya dibor hingga kedalaman menegak sebenar 3,315.3 meter di bawah paras laut.

Kajian lanjut akan dijalankan untuk menilai sepenuhnya keputusan telaga ini dan menentukan potensi penemuan tersebut.

Naib Presiden Penerokaan Petronas, Ahmad Faisal Bakar berkata, penemuan ini mengukuhkan kehadiran Petronas yang telah lama wujud di Jawa Timur.

“Penemuan Barokah-1 menegaskan potensi penerokaan yang menarik yang terus kami lihat di Wilayah Madura Utara, Jawa Timur.

“Keputusan yang menggalakkan ini meningkatkan pemahaman kami tentang prospektiviti takungan dan memperkukuh usaha Petronas untuk pertumbuhan yang berdisiplin serta mematangkan peluang yang boleh menyumbang kepada landskap tenaga yang mampan di Jawa Timur,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pencapaian ini melengkapi momentum Projek Pembangunan Hidayah yang sedang berjalan dari PSC Madura Utara II, yang mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) pada Oktober 2024 susulan penemuan minyak pada 2021.

Pengarah Urusan Petronas North Ketapang Sdn. Bhd., Yuzaini Md Yusof berkata, pihaknya menghargai sokongan padu yang diterima daripada para pemegang taruh sepanjang aktiviti penerokaan.

“Syarikat berterima kasih kepada Kerajaan Indonesia dan rakan kongsi atas kerjasama mereka yang membolehkan kejayaan program pengeboran ini, selaras dengan usaha kami untuk pertumbuhan huluan yang bertanggungjawab dan menyumbang kepada sektor tenaga Indonesia,” ujarnya.

Selain PSC Ketapang Utara, Petronas mengendalikan PSC Ketapang, Madura Utara II dan Serpang di luar pesisir Jawa Timur, serta PSC Bobara di luar pesisir Papua Barat dan turut memegang kepentingan penyertaan dalam enam PSC lain yang terletak di daratan dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur dan Indonesia Timur. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×