KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangan Datuk Fairuz Renddan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, November tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Farisz Gohim Abdullah membuat keputusan itu selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan Fairuz yang bertanding atas tiket Bebas.
Pada 22 Disember 2025, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia memfailkan petisyen untuk mencabar kemenangan Fairuz.
Mahkamah mendapati terdapat pelbagai ketidakpatuhan terhadap peraturan ketat pilihan raya serta peruntukan statutori di bawah akta berkaitan, menyebabkan petisyen berkenaan tidak dapat diteruskan serta mengarahkan Pandikar membayar kos RM10,000 kepada Fairuz.
Fairuz memenangi kerusi DUN Pintasan dalam pertandingan 11 penjuru dengan dengan majoriti 1,070.
Dalam pada itu, Fairuz berkata, beliau akan memfokuskan tugas sebagai wakil rakyat Pintasan dan melaksanakan janji-janji pilihan raya sebelum ini.
“Saya akan terus majukan Pintasan, seperti yang saya janjikan dan laksanakan sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat lagi. Kemenangan saya kerana rakyat yang mahu saya memperjuangkan suara mereka,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah. – UTUSAN










