BANGI: Sumbangan RM10,000 yang disalurkan Affin Bank dimanfaatkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi membantu persiapan Aidilfitri komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi Majlis Iftar Kasih Ukhuwah dan Bina Insan (Iktiraf) hari ini.
Sumbangan itu akan memanfaatkan kira-kira 100 penerima OKU yang menerima baju raya serta duit raya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Pengerusi Yadim, Profesor Adi Anuar Azmin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Affin Bank atas sumbangan yang disalurkan bagi menjayakan program berkenaan.
“Pihak kami (Yadim) merakamkan penghargaan kepada Affin Bank atas sumbangan berjumlah RM10,000.
“Usaha ini juga sebagai tanda penghargaan kepada komuniti OKU yang turut memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.
“Malah memperkasa kebajikan golongan rentan selaras dengan pendekatan dakwah yang menyantuni masyarakat,” katanya. – UTUSAN











