PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza dilaporkan semakin meruncing dengan bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas kini berada pada tahap yang sangat kritikal menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, majoriti penduduk kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar ekoran kemusnahan sektor pertanian, kilang makanan dan bakeri akibat konflik yang berlarutan.
Menurut beliau, ketidak jaminan makanan yang serius menyebabkan banyak keluarga hanya mampu makan sekali sehari, malah ada yang langsung tidak mempunyai kepada bekalan khasiat yang mencukupi.

“Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga makanan yang mendadak akibat sekatan dan kekurangan stok di pasaran.
“Walaupun terdapat bantuan yang masuk secara terhad, ia masih gagal menampung keperluan keseluruhan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut menarik perhatian mengenai penutupan lintasan sempadan yang kerap berlaku, sekali gus melambatkan kemasukan bahan asas utama seperti tepung dan beras, selain menyebabkan kekurangan bahan api serta gas memasak yang penting bagi kegunaan harian.
Seterusnya, Mohd. Azmi memaklumkan bahawa hospital di wilayah berkenaan kini berdepan krisis peralatan pembedahan dan kekurangan ubat-ubatan penting, dengan lebih separuh daripada kemudahan hospital dilaporkan tidak lagi beroperasi.
“Ribuan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan di luar Gaza juga kini terperangkap berikutan sempadan yang menghalang proses pemindahan perubatan,” katanya.
Menyentuh persiapan aidilfitri, beliau menggambarkan suasana lebaran tahun ini sebagai paling sukar buat rakyat Gaza memandangkan sebahagian besar daripada mereka kini berteduh di khemah sementara dan bangunan yang rosak.
Selain trauma kehilangan ahli keluarga, ketiadaan wang tunai dan pakaian baharu untuk kanak-kanak menjadi kebimbangan utama yang menyelubungi masyarakat di sana ketika ini.
Walaupun dalam serba kekurangan, beliau berkata, masyarakat Gaza tetap menunjukkan semangat ketabahan luar biasa dengan menghias khemah dan berkongsi apa sahaja yang ada untuk mengekalkan suasana Ramadan dan Aidilfitri.
Pelbagai organisasi kemanusiaan kini sedang melipatgandakan usaha menyediakan bantuan tunai, pek makanan dan dapur komuniti bagi memastikan keluarga di Gaza dapat menyambut hari raya dengan sedikit sinar harapan. – UTUSAN










