Penerbangan Qatar Airways belum pulih sepenuhnya

Penerbangan Qatar Airways belum pulih sepenuhnya

PESAWAT Qatar Airways. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Qatar Airways memaklumkan operasi penerbangannya ke dan dari Doha masih terhad susulan penutupan sementara ruang udara Qatar.

Syarikat penerbangan itu berkata, semua penerbangan masih digantung buat sementara waktu sehingga ruang udara negara tersebut dibuka semula.

Menurut kenyataan itu, operasi penerbangan hanya akan disambung sepenuhnya selepas mendapat pengesahan keselamatan daripada Qatar Civil Aviation Authority.

“Operasi akan disambung semula sebaik sahaja Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar mengesahkan pembukaan semula ruang udara Qatar dengan selamat,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penerbangan negara itu telah memberikan kebenaran sementara bagi beberapa laluan penerbangan terhad bagi membantu penumpang yang terjejas.

Sehubungan itu, Qatar Airways merancang untuk mengendalikan beberapa penerbangan terpilih dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan masing-masing.

Namun, syarikat penerbangan tersebut menegaskan bahawa penerbangan yang dikendalikan itu tidak bermaksud operasi komersial berjadual telah kembali seperti biasa.

“Kami turut mengatur beberapa penerbangan terus dari satu destinasi ke destinasi lain bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan tanpa perlu melalui Doha.

“Penumpang yang layak untuk penerbangan terus itu akan dihubungi secara langsung oleh pihak syarikat.

“Sehubungan itu, penumpang diminta supaya tidak hadir ke lapangan terbang melainkan mempunyai tiket yang sah dan disahkan bagi penerbangan berkenaan.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” jelas kenyataan itu.

Bagi penumpang yang mempunyai tempahan penerbangan antara 28 Februari hingga 22 Mac 2026, Qatar Airways turut menawarkan dua kali perubahan tarikh perjalanan secara percuma dalam tempoh sehingga 14 hari daripada tarikh asal atau pilihan bayaran balik bagi tiket yang tidak digunakan.

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf atas gangguan yang berlaku dan berterima kasih kepada penumpang atas kesabaran serta pemahaman mereka terhadap situasi di luar kawalan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×