PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan gas negara mencukupi walaupun konflik zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) menjurus kepada krisis bahan api terbesar dalam sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik berkenaan menyebabkan gangguan besar kepada laluan perdagangan minyak global apabila lebih 400 kapal tangki minyak bersama kira-kira 3,000 kapal pengangkutan lain dilaporkan terkandas.
Katanya, ketegangan di Asia Barat menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak sehingga mencecah kira-kira AS$119 setong pada 9 Mac lalu sebelum menurun sedikit kepada sekitar AS$90 setong.
“Peningkatan mendadak itu memberi tekanan kepada negara pengimport minyak serta pengguna di seluruh dunia.
“Bagaimanapun, kerajaan masih mampu mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah inisiatif Program Budi Madani (BUDI95),” katanya dalam sidang akhbar khas di pejabat Perdana Menteri di sini semalam.
Menurut beliau, walaupun harga pasaran bahan api di peringkat global jauh lebih tinggi, kerajaan membuat keputusan sukar untuk terus mengekalkan subsidi tersebut demi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos sara hidup.
“Harga sebenar kini jauh lebih tinggi, malah jika dibandingkan dengan negara lain, boleh mencecah sehingga tiga kali ganda,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut menjamin bekalan minyak mencukupi dan terkawal sehingga Mei depan hasil pengurusan cekap Petronas dan negara.
“Ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan kerana dengan kerjasama Petronas, kita mempunyai bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Keadaan ini tentunya berbeza daripada kebanyakan negara lain.
“Ada yang bertanya jika keadaan terkawal dan bekalan masih mencukupi, apa keperluan kita berjimat.
“Saya kata ini langkah waras supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik Asia Barat secara dekat bagi menilai kesan terhadap ekonomi dan kedudukan fiskal negara.
Sementara itu katanya, kerajaan turut mengambil langkah penjimatan besar-besaran termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).
Anwar berkata, keputusan itu dibuat sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.
Katanya, langkah itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang turut menilai perkembangan semasa di rantau berkenaan.
“Saya telah memutuskan bersama dengan Jemaah Menteri supaya semua agensi kerajaan dan GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka.
“Ia memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana,” katanya.
Kerajaan turut mengehadkan lawatan luar negara melibatkan menteri dan anggota pentadbiran dengan kunjungan luar negara hanya dibenarkan sekiranya melibatkan program yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.
“Menteri dan seluruh anggota pentadbiran serta jabatan-jabatan dihadkan lawatan ataupun kunjungan luar negara melainkan yang memang dalam jadual yang wajib dihadiri,” katanya.
Menurut beliau, langkah berjimat berkenaan diambil walaupun bekalan minyak dan gas negara masih mencukupi serta harga bahan api utama dapat dikekalkan.
Pendekatan tersebut adalah langkah berwaspada supaya negara tidak terperangkap sekiranya keadaan global bertambah buruk.
Justeru satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok, bagi meneliti perkembangan semasa dan menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil kerajaan.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan memberi ruang kepada Jemaah Menteri mengkaji kedudukan fiskal negara selain memantau perkembangan konflik secara lebih dekat.
“Ini akan memberi ruang Jemaah Menteri meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasa secara lebih nyata dan menentukan langkah seterusnya yang harus kita tangani,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berwaspada serta bekerjasama dengan semua pihak termasuk sektor swasta bagi memastikan negara mampu menangani cabaran semasa dengan baik.
Beliau juga menegaskan kepentingan tata kelola, pengurusan cekap, amanah dan profesionalisme dalam memastikan kestabilan bekalan minyak.
“Kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat, termasuk melindungi mereka daripada impak kenaikan harga minyak serta barangan keperluan lain.
Beliau berkata, ketegangan krisis Asia Barat ini telah mengehadkan ruang udara, penerbangan, serta gangguan kepada bekalan minyak dan gas, yang selalunya melalui Selat Hormuz.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf, bagi menangani isu penyeludupan, terutama membabitkan diesel dan petrol.
Beliau berkata, jawatankuasa itu bagi memastikan bekalan diesel lebih terkawal di Semenanjung dan tidak naik di Sabah serta Sarawak.
“Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran. Jadi saya tugaskan TPM memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan yang lebih tegas terhadap kalangan yang cuba mengambil kesempatan dan menyeludup,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagi meneliti impak ekonomi secara harian supaya maklumat dapat disampaikan kepada pimpinan kerajaan.
“Tentunya kita akan memantau perkembangan di Asia Barat dan kesudahannya. Kita berdoa kepada Allah SWT untuk melindungi rakyat dan agar keamanan dapat dicapai.
“Bagi kita, langkah ini juga menandakan perlunya pimpinan memulakan tindakan lebih positif serta berwaspada,” tambah beliau. – UTUSAN










