PUTRAJAYA: Kerajaan masih mampu mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani (BUDI95) pada harga RM1.99 walaupun negara turut terkesan dengan perkembangan ketegangan geopolitik yang memberi kesan terhadap ekonomi global, termasuk Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi, kerajaan membuat keputusan sukar ini demi rakyat.
“Harga sebenar kini jauh lebih tinggi, malah jika dibandingkan dengan negara lain, boleh mencecah sehingga tiga kali ganda,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan turut menjamin bekalan minyak mencukupi dan terkawal sehingga Mei depan hasil pengurusan cekap Petronas dan negara.
“Ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan kerana dengan kerjasama Petronas, kita mempunyai bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Keadaan ini tentunya berbeza daripada kebanyakan negara lain.
Beliau juga menegaskan kepentingan tata kelola, pengurusan cekap, amanah dan profesionalisme dalam memastikan kestabilan bekalan minyak.
“Kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat, termasuk melindungi mereka daripada impak kenaikan harga minyak serta barangan keperluan lain.
Beliau berkata, ketegangan krisis Asia Barat ini
telah mengehadkan ruang udara, penerbangan, serta gangguan kepada bekalan minyak dan gas, yang selalunya melalui Selat Hormuz.
Katanya, dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak telah terkandas bersama kira-kira 3,000 kapal pengangkutan lain.
Beliau menambah, pada 9 Mac, harga minyak mentah dunia mencecah AS$119 setong, walaupun keadaan menurun sedikit semalam ke paras sekitar AS$90 setong.
“Ini satu peningkatan mendadak yang memberi kesan ekonomi bagi negara pengimport dan pengguna minyak.
“Tetapi satu hal yang amat memprihatinkan dan membimbangkan adalah kerana konflik ini mempunyai kesan terhadap ekonomi dunia Asia, termasuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN










