Rizab antarabangsa meningkat, ketahanan ekonomi jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Rizab antarabangsa meningkat, ketahanan ekonomi jadi tumpuan

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan rizab antarabangsa Malaysia ketika ini dilihat sebagai perkembangan positif yang memperkukuh kedudukan kewangan negara, namun tumpuan kini beralih kepada tahap ketahanan ekonomi dalam mendepani komitmen hutang luar.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, meskipun kedudukan rizab menunjukkan aliran menaik, kemampuan sebenar negara diukur melalui kelestarian untuk menampung import dan liabiliti jangka pendek.

Menurut beliau, tahap rizab semasa yang mampu menampung sekitar 4.7 bulan import masih berada pada paras selesa dan melepasi penanda aras minimum antarabangsa iaitu tiga bulan.

“Bagaimanapun, nisbah 0.9 kali bagi menampung hutang luar negara jangka pendek menunjukkan ruang yang agak terhad. Oleh itu, pengurusan aliran keluar masuk modal serta kestabilan sektor luaran perlu terus diberi perhatian serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, rizab antarabangsa berfungsi sebagai ‘benteng’ penting bagi memastikan kestabilan nilai ringgit dan mengekalkan keyakinan pelabur.

Berdasarkan data terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM), rizab antarabangsa negara kini dilaporkan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih 11 tahun.

Lonjakan ini didorong oleh pertumbuhan mampan dalam sektor eksport serta aliran masuk pelaburan asing yang konsisten, sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia di tengah-tengah peralihan landskap kewangan global.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), rizab meningkat sebanyak AS$1.4 bilion atau 1.1 peratus bulan ke bulan, sekali gus mencatat paras tertinggi sejak Ogos 2014.

“Meskipun terdapat peningkatan, liputan import susut kepada 4.7 bulan berbanding 4.8 bulan pada Januari, manakala nisbah rizab kepada hutang luar jangka pendek kekal tidak berubah pada 0.9 kali,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, keupayaan rizab tidak semestinya meningkat selari dengan jumlah rizab fizikal.

Ini kerana nisbah tersebut dipengaruhi oleh perubahan struktur perdagangan serta jumlah import barangan dan perkhidmatan yang dinamik.

“Jika nilai import meningkat atau komitmen hutang luar jangka pendek bertambah, nisbah rizab akan kelihatan lebih rendah walaupun nilai rizab sebenar lebih tinggi. Namun, secara keseluruhan, paras semasa masih memadai untuk bertindak sebagai penampan terhadap ketidaktentuan pasaran kewangan global,” katanya.

Tambah beliau, bagi memperkukuh kedudukan ini, Malaysia perlu terus meningkatkan daya saing eksport dan menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti.

Langkah itu, katanya, perlu seiring dengan pengurusan hutang luar negara yang kekal terkawal dan berhemah bagi menjamin kemampanan ekonomi jangka panjang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×