PETALING JAYA: Sabah FC diingatkan agar tidak memandang ringan ancaman yang bakal diberikan oleh Perak FA menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Cabaran 2026 di Stadium Likas, malam ini.
Legenda bola sepak Sabah, Datuk Hassan Sani menegaskan skuad kendalian Juan Torres Garrido perlu berwaspada saingan yang bakal diberikan oleh anak buah Syamsul Saad meskipun pasukan itu dibarisi ramai pemain muda.
Katanya, skuad muda Perak mempunyai potensi besar dan mampu menjadi pasukan yang kuat dalam beberapa tahun akan datang.
“Perak ini bukan pasukan biasa. Ramai pemain muda, kebanyakannya dari program pembangunan seperti SUKMA. Mungkin dua tiga tahun lagi mereka boleh jadi antara pasukan gergasi dalam liga kita.
“Walaupun sekarang ada yang tak begitu dikenali, pasukan muda biasanya bersemangat tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas peluang Sabah pada aksi timbal balik itu, Hassan berkata, pendekatan paling penting adalah mendapatkan jaringan awal bagi melemahkan semangat lawan sekaligus memberi kelebihan psikologi kepada pasukan tuan rumah.
“Kalau ikut prinsip saya semasa bermain dulu, yang penting adalah jaringan gol. Kalau boleh dapat satu atau dua gol awal untuk jatuhkan sedikit semangat pihak lawan.
“Tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku kerana permainan berlangsung selama 90 minit. Walaupun kita mendahului, belum tentu kita menang,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu juga berkata, landskap bola sepak moden kini jauh berbeza berbanding dahulu, sekali gus menjadikan setiap perlawanan sukar diramal.
“Dulu kalau pasukan datang bermain di Likas memang sukar untuk menang, tetapi sekarang bola sepak sudah berubah. Apa-apa boleh berlaku,” ujarnya.
Pada aksi pertama di Manjung, kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan sekaligus menjadikan aksi timbal balik di Likas sebagai penentu perebutan slot ke final Piala Cabaran. – UTUSAN










