Ringgit terkesan akibat ketegangan geopolitik berlauratan AS-Iran

Ringgit terkesan akibat ketegangan geopolitik berlauratan AS-Iran

PADA pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah pada 3.9670/3.9730 berbanding 3.9380/3.9480 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi kesan kepada mata wang tempatan apabila  menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, tatkala harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$118 (RM468.42) setong semalam.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah pada 3.9670/3.9730 berbanding 3.9380/3.9480 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu. 

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, penyusutan ringgit berkait rapat dengan peningkatan ketidaktentuan geopolitik melibatkan AS dan Iran.

“Dalam keadaan seperti ini, pelabur global lazimnya beralih kepada aset yang dianggap lebih selamat seperti dolar AS, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap mata wang tersebut.

“Apabila aliran modal bergerak ke arah aset selamat, mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit boleh mengalami tekanan penyusutan dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pergerakan ini sering bersifat sementara dan lebih mencerminkan sentimen pasaran global berbanding kelemahan asas ekonomi domestik.

Katanya, selain faktor geopolitik, terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi pergerakan ringgit pada masa ini termasuk harga minyak global dan jangkaan hala tuju kadar faedah di AS.

“Prestasi perdagangan luar Malaysia, perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan ekonomi utama dunia serta perkembangan ekonomi serantau juga menjadi penentu kepada kekuatan atau kelemahan ringgit dalam jangka masa pendek,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prestasi ringgit dalam jangka masa panjang akan bergantung kepada sejauh mana ekonomi Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam mendepani cabaran global. 

Katanya, kestabilan politik dalam negeri dan pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi yang berterusan merupakan faktor kritikal yang akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk kembali ke pasaran tempatan.

“Meskipun kita kini berada dalam fasa ketidaktentuan, pengurusan fiskal yang berhemah dan kepelbagaian sumber ekonomi negara dijangka dapat membantu mengurangkan impak negatif daripada kejutan luaran. 

“Oleh itu, pemantauan rapi terhadap perkembangan di Asia Barat amat diperlukan bagi memastikan langkah intervensi atau pelarasan dasar yang tepat dapat diambil bagi melindungi kestabilan nilai ringgit,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia  (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata,  pergerakan ringgit dalam tempoh terdekat masih dijangka berdepan turun naik berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan sentimen pelabur yang cenderung memilih dolar AS sebagai mata wang selamat ketika berlaku ketegangan geopolitik.

“Dalam jangka pendek, ringgit berkemungkinan terus bergerak dalam julat yang agak sempit tetapi tidak mustahil untuk menghampiri semula paras RM4.00 berbanding dolar AS sekiranya ketegangan geopolitik berlarutan atau pasaran terus melihat dolar AS sebagai aset perlindungan,” katanya.

Tambahnya, asas ekonomi Malaysia yang masih kukuh, termasuk prestasi perdagangan dan aliran pelaburan, berpotensi membantu mengehadkan penyusutan ringgit daripada menjadi lebih ketara.

“Jika sentimen global kembali stabil dan tekanan luaran berkurangan, ringgit berpotensi untuk kembali mengukuh secara beransur-ansur,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×